Boikot TV, radio boleh kekang sebaran dakwah semberono
Sebahagian agamawan melihat isu bermudah-mudah dengan fakta agama atau semberono dalam memberi pandangan melalui media massa boleh dikekang dengan langkah memboikot medium berkenaan.
Langkah itu dianggap dapat memberi tekanan kepada media terbabit agar lebih berhati-hati dalam memilih personaliti yang mahu ditonjolkan, termasuk dalam kalangan pendakwah selebriti.
Rektor Kolej Universiri Islam Perlis (KUIPs), Prof Rozaimi Ramle, berkata masyarakat yang prihatin boleh menggerakkan usaha menjauhi sesebuah media massa agar pihak yang berkenaan mengambil tanggungjawab dalam menjemput pendakwah.
“Saya percaya dengan kaedah ini, media akan menjemput pendakwah berdasarkan bidang kepakaran serta latar belakang pendidikan individu berkenaan.
“Mereka juga akan mengelakkan diri daripada menjemput pendakwah yang sentiasa salah memberikan informasi dan sumber agama,” katanya kepada Malaysiakini.
Ahli Jawatankuasa Fatwa Perlis itu juga meminta Kementerian Komunikasi menyediakan garis panduan kepada stesen TV serta radio untuk menjemput seseorang pendakwah.
Sementara itu pensyarah kanan di Jabatan al-Quran dan Sunnah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Abu Hafiz Salleh Huddin, menyatakan tindakan boikot hanya boleh dilakukan setelah pihak media massa tetap berdegil menjemput seseorang pendakwah setelah ditegur oleh masyarakat.
“Saya akan menyokong kaedah memboikot ini sekiranya pihak TV atau radio tidak mengendahkan nasihat daripada pihak autoriti agama, ahli akademik dan masyarakat dalam menjemput pendakwah yang misalnya jelas menyebarkan hadis palsu,” katanya.
Selain itu, dia yang juga penasihat khas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyarakan agar masyarakat membudayakan amalan bertanyakan dalil kepada pendakwah dengan cara lebih beradab.
“Masyarakat perlu menormalisasikan amalan bertanya dalil dengan cara terhormat agar pendakwah akan sentiasa membuat semakan fakta sebelum menyampaikannya kepada masyarakat,” katanya kepada Malaysiakini.
Isu kewajaran seseorang personaliti memberikan pandangan berkaitan hukum-hakam Islam timbul lagi ekoran tindakan pendakwah selebriti, Don Daniyal Don Biyajid, mencetuskan kontroversi apabila memberikan jawapan mengelirukan.
Antaranya, dia mendakwa Rasulullah pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani, sebanyak tiga kali dan wanita berkenaan merupakan 'cinta pertama' baginda.
Pendekatan nasihat, sabar
Kemudian Don Daniyal juga membuat dakwaan yang diragui mengenai kelebihan memandang wajah ulama yang didakwa berasal dari hadis palsu dalam rancangan Salam Baitullah di RTM sehingga dia direhatkan terus dari rancangan berkenaan.
Terbaru, dalam slot soal jawab agama Don Give Up di stesen radio Suria FM, Don Daniyal mendakwa seseorang Muslim dibolehkan berpuasa pada hari Tasyrik.
Dakwaannya itu ditegur oleh ramai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Na'im Mokhtar.
Pensyarah kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari di Universiti Teknologi Mara, Mohd Hapiz Mahaiyadin, pula menekankan agar pihak agamawan dan masyarakat tidak berkonfrontasi dengan media demi kebaikan usaha dakwa melalui medium berkenaan.
“Hal ini kerana dikhuatiri ruang dakwah di media massa itu akan dikesampingkan dan digantikan pula dengan ruangan lain yang tidak bermanfaat,” katanya.
Dihubungi Malaysiakini, Mohd Hapiz lebih menekankan pendekatan melalui nasihat dengan penuh sabar supaya media terbabit mengutamakan prinsip penyampaian maklumat yang tepat dan bermanfaat kepada orang ramai.
Dia juga meminta agar polisi stesen TV dan radio merehatkan seseorang pendakwah yang melakukan kesalahan hanyalah bersifat sementara.
“Sekiranya pendakwah kontroversi itu berubah dan menginsafi kesilapannya, dia wajar diberikan peluang semula.
“Pada masa sama, medan dakwah di media massa boleh diisi oleh pendakwah lain. Boleh saya katakan bahawa di Malaysia ini, kita tidaklah kekurangan pendakwah.
“Ramai lagi boleh dijemput sepertimana masjid dan surau boleh menjemput ramai pendakwah yang mereka kehendaki,” katanya.
Pensyarah dari Pusat Bahasa UIAM, Abdullah Bukhari Abdul Rahim, menyatakan tindakan memboikot adalah dibenarkan bagi perkara yang boleh memudaratkan umat Islam.
Namun, dia menasihati masyarakat untuk memastikan punca boikot itu adalah jelas dan bukannya hanya persepsi yang didatangkan daripada sesetengah pihak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai