Skip to main
Logo Malaysiakini

Hakim tarik diri dari prosiding semakan 204 pekebun durian Raub

Artikel ini sudah 12 hari diterbitkan

Seorang hakim Mahkamah Rayuan hari ini menarik diri daripada membicarakan semakan kehakiman oleh 204 pekebun durian Raub terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan negeri Pahang.

Semasa prosiding mahkamah terbuka yang dianggotai tiga panel, hakim Wong Kian Kheong membuat pendedahan tentang kaitannya dengan Brendan Navin Siva, salah seorang peguam yang mewakili pekebun itu.

Brendan dan peguam lain yang mewakili pekebun dan kerajaan negeri Pahang kemudian menyatakan mereka tidak mempunyai bantahan terhadap Wong dan tiada masalah jika dia kekal sebagai panel.

“Pada pandangan saya, adalah lebih telus untuk saya tarik diri. Saya berterima kasih kepada pihak yang tidak mempunyai bantahan, tetapi untuk memastikan ketelusan dan integriti prosiding, saya masih ingin tarik diri (sendiri),” kata Wong.

Pengerusi panel Supang Lian kemudian menetapkan pengurusan kes hari ini untuk menetapkan tarikh pendengaran baharu, dengan seorang hakim baharu dilantik membentuk panel tiga hakim.

Ahli panel lain ialah hakim Azhahari Kamal Ramli.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan telah menjadualkan semula pendengaran permohonan 131 pekebun durian Musang King dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) bagi mengubah perintah hakim berkaitan penyelenggaraan dusun buah-buahan itu sementara menunggu pelupusan rayuan mereka terhadap arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Ini selepas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wong Kian Kheong, yang bersidang bersama-sama dua hakim lain, menarik diri kerana mempunyai hubungan dengan seorang daripada peguam pihak yang terlibat dalam kes itu.

Meskipun tiada pihak membantah kehadiran beliau dalam panel yang mendengar kes itu namun demi kepentingan ketelusan dan integriti prosiding berkenaan, Wong memutuskan untuk menarik diri.

Terdahulu, peguam Brendan Navin Siva yang mewakili pekebun terbabit, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Datuk Saiful Edris Zainuddin yang mewakili kerajaan negeri, peguam Mohd Najid Hussain bagi pihak PKPP serta Tan Sri Cecil Abraham bagi Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak mempunyai bantahan terhadap Wong untuk mendengar kes itu.

Datuk Supang Lian, yang mengetuai panel tiga hakim bagi mendengar kes itu, berkata susulan penarikan diri Wong, pendengaran hari ini terpaksa dikosongkan. 

Beliau kemudian mengarahkan agar kes itu dirujuk bagi pengurusan kes untuk menetapkan tarikh pendengaran baharu. Turut bersidang Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Sementara itu, Brendan ketika dihubungi Bernama mengesahkan pada prosiding pengurusan kes berkenaan, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Zuhrina Mohamed Nor menetapkan 19 Julai sebagai tarikh pendengaran baharu.

Pada 28 Mei lepas, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Lee Swee Seng menolak permohonan pekebun untuk memasuki dusun bagi menyelenggara dan mengusahakan pokok durian terbabit sementara menunggu pelupusan rayuan mereka terhadap keputusan Kerajaan Negeri Pahang yang mengeluarkan notis pengosongan kepada mereka.

Lee turut mengarahkan supaya pokok durian di atas tanah terbabit tidak ditebang kecuali dengan kebenaran mahkamah dan PKPP menyelenggara pokok terbabit dengan membaja, menyiram, menuai hasil serta menjauhkan haiwan dan serangga perosak.

Beliau juga berkata PKPP perlu memfailkan afidavit sebelum 10 hari bulan setiap bulan berkaitan gred buah durian terbabit dan harga jualannya.

Turut mewakili Kerajaan Negeri Pahang pada prosiding hari ini ialah Penolong Penasihat Undang-Undang Dorah Abdul Kadir dan Abdul Hafiz Razat manakala pekebun terbabit juga diwakili peguam Siew Choon Jern.