Skip to main
Logo Malaysiakini

LANGSUNG | ‘One by one gentleman’ di Sg Bakap

Artikel ini sudah 15 hari diterbitkan

Langkah PRK Sungai Bakap bermula secara rasmi pagi ini. Di pihak parti kerajaan mereka akan menggerakkan jentera masing-masing untuk cuba menawan kerusi berkenaan daripada pembangkang, manakala PN pula menyusun strategi bagi mempertahankannya.

Malaysiakini membawakan laporan secara langsung perjalanan proses penamaan calon tersebut di sini hari ini.


10.45 pagi, Jawi: Calon PH, Joohari Ariffin, mengumumkan empat prinsip teras bagi manifestonya dalam misi merampas kerusi DUN Sungai Bakap dalam tempoh dua minggu akan datang.

Bercakap kepada media, Joohari berkata, dia membawa mesej PADU iaitu prasarana, akhlak, damai, untuk semua.

“Kita dipilih oleh rakyat berbilang kaum, pelbagai parti, pelbagai ideologi.

"Sebagai rakyat kami akan memberikan perkhidmatan untuk semua, sama ada mereka mengundi atau tidak.

“Memang menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan rakyat dalam kawasan ini dapat bersama-sama menikmati kemajuan,” katanya.


10:30 pagi, Jawi: Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan kekuatan seseorang pemimpin politik bukan melalui kelulusan akademik semata-mata.

Dia menegaskan perkara itu ketika ditanya apakah kekuatan calon PN Abidin Ismail yang menjadi pilihan gabungan itu untuk mempertahankan DUN Sungai Bakap.

“Ini calon rakyat, dia duduk buat kerja dengan wakil rakyat sebelum ini.

“Banyak orang berpendidikan tinggi, doktor, profesor, tapi dalam politik failed (gagal),” katanya kepada media selepas proses penamaan calon.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula meletakkan keyakinan betapa isu-isu semasa akan memberi kemenangan kepada calon mereka.


10:20 pagi, Jawi: PRK DUN Sungai Bakap secara rasmi menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon PH dan PN.

Perkara itu diumumkan Penolong Pegawai Pengurus PRK Sungai Bakap Khairulnizam Hashim.

Menurut Khairulnizam calon PH, Joohari Ariffin mengemukakan borang pencalonannnya pada jam 9.03 pagi, sebelum diikuti Abidin Ismail kira-kira tiga minit kemudian.

Selepas membuat semakan, katanya, pencalonan kedua-dua mereka diterima SPR.

Persaingan kali ini menyaksikan “Cikgu Joohari” akan berdepan dengan cabaran daripada “Abang Abidin”.


10 pagi, Jawi: Penolong pegawai pengurus pilihan raya, Syamsul Fitry Ahmad mengumumkan waktu penerimaan penamaan calon tamat jam 10 pagi.

Selepas proses cabutan undi untuk kedudukan dalam kertas pencalonan dibuat, nama Joohari Ariffin berada di kedudukan nombor satu, manakala Abidin Ismail di nombor dua.

Proses cabutan undi itu disiarkan secara langsung oleh Suruhanjaya Pilihan Raya melalui media sosial mereka.


9:53 pagi, Jawi: Sementara menunggu pengumuman rasmi, para pemimpin parti kerajaan dan pembangkang meluangkan masa berbual mesra di bawah khemah berhampiran tempat penamaan calon.

Antara tokoh yang kelihatan beramah mesra ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.


9:30 pagi, Jawi: Tenang sebelum 'ribut' melanda. Kedua-dua calon berkongsi hidangan sementara menunggu pengumuman rasmi daripada SPR.

Joohari Ariffin dari PKR-PH dan Abidin Ismail dari PAS-PN bersama pencadang dan penyokong masing-masing mengambil masa untuk berbual-bual sambil menikmati sarapan di dalam dewan.

Pusat penamaan calon itu dijangka ditutup pada pukul 10 pagi seperti yang diumumkan oleh salah seorang pegawainya pagi ini.


9:15 pagi Jawi: Kedua-kedua calon PH dan PN masuk ke pusat penamaan calon diiringi penyokong dan pencadang masing-masing.

Calon PH Joohari Ariffin diiringi S Galaimani selaku pencadang dan Ameera Nadia Mohd Shafiee sebagai penyokongnya.

Joohari Ariffin bersama G Galaimani dan Ameera Nadia Mohd Shafiee

Calon PN pula Abidin Ismail diiringi Abdul Rahman Hashim sebagai pencadang dan Amizan Ariffin sebagai penyokong


8:50 pagi, Jawi: Presiden PAS Abdul Hadi Awang tiba di pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi bagi menyertai kemeriahan proses penamaan calon hari ini.

Perarakan penyokong PAS-PN tiba di kawasan pintu utama Dewan Serbaguna Jawi dengan alunan selawat dan laungan takbir.

Abdul Hadi turut disertai pemimpin kanan lain termasuk Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin Hassan (Setiausaha Agung PAS), Annuar Musa (Muafakat Nasional) Radzi Jidin (Naib Presiden Bersatu) Hanafiah Mat (Adun Chukai) dan Muhammad Khalil Abdul Hadi.


8:40 pagi, Jawi: Menurut polis ada lebih 1,000 penyokong kerajaan memenuhi jalan di sekitar Jalan Serindit seawal jam 6.30 pagi hari tadi.

Mereka - yang kebanyakannya berbaju merah - berarak kira-kira 200 meter dari bangunan Umno Bahagian Nibong Tebal ke pusat penamaan calon.

Menyertai Joohari Ariffin yang menyertai ialah beberapa pemimpin kanan termasuk Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng.


8:30 pagi, Jawi: Ribuan penyokong PH-BN dan PN mula berkumpul sejak jam 8 pagi tadi untuk berarak mengiringi calon masing-masing ke pusat penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi.

Pusat penamaan calon akan dibuka tepat jam 9 pagi sebagai proses permulaan pilihan raya kecil (PRK) Sungai Bakap.


8 pagi, Jawi: Penamaan calon akan diadakan di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, Nibong Tebal mulai jam 9 pagi nanti.

SPR memberikan masa selama sejam untuk sesiapa mengemukakan borang menjadi calon sebelum ia diteliti oleh badan berkenaan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim dijangka mengumumkan nama calon yang layak bertanding kira-kira jam 11 pagi.

PRK Sungai Bakap diadakan ekoran kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Kawasan Sungai Bakap asalnya ialah kubu kuat Umno-BN. Malah pada suatu ketika Sungai Bakap 'menghantar' Adun mereka untuk menjadi orang nombor dua dalam kerajaan negeri.

Salah seorang Adun di situ, Abdul Rashid Abdullah pernah dilantik menjadi timbalan ketua menteri.

Bagaimanapun keadaan berubah sejak 2008 apabila PKR mengalahkan Abdul Rashid melalui calonnya Maktar Shapee dengan kelebihan 2,067 undi.

Maktar menjadi Adun di situ selama dua penggal sebelum dia digantikan pula oleh Amar Pritpal Abdullah pada 2018.

Apabila pilihan raya negeri diadakan pada tahun lalu kerusi Sungai Bakap dikuasai PAS-PN melalui Nor Zamri melalui pertembungan satu lawan satu. Dia mengalahlah calon PKR-PH, Nurhidayah Che Ros.