Skip to main
Logo Malaysiakini

Ikut formula KJ, M'sia perlu putus hubungan diplomatik dengan AS - Supol PM

Artikel ini sudah 16 hari diterbitkan

Setiausaha Politik Perdana Menteri Muhammad Kamil Abdul Munim menyindir bekas menteri kabinet Khairy Jamaluddin sebagai dangkal susulan kenyataan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh disifatkan menyokong genosid Israel di Palestin sekiranya membenarkan syarikat pelaburan berpangkalan Amerika Syarikat (AS) Blackrock membeli saham Malaysia Airlines Holdings Berhad (MAHB).

"Sebagai mantan menteri kabinet, Khairy seharusnya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak terbawa-bawa dengan emosi.

"Kalau ikut formula atau sifir mudah Khairy, lebih baik kita putuskan hubungan diplomatik dengan AS. Apakah beliau lupa bahawa Amerika adalah pihak paling lantang mendukung Zionis Israel sehingga menafikan Palestin daripada menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Tidakkah mengekalkan hubungan dagang dengan AS dianggap sebagai bersekongkol dengan pembantaian rakyat di Palestin? Sebab itu logik beliau itu sangat dangkal," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, KJ menekankan bahawa kerajaan tidak boleh membenarkan Blackrock yang dimiliki Larry Fink seorang penyokong Zionis membeli saham MAHB.

Katanya, keputusan sedemikian akan dilihat bahawa kerajaan bersubahat dengan genosid Israel terhadap warga Palestin.

Blackrock berada di Malaysia sejak 1990

Namun, Kamil yang juga timbalan ketua pemuda PKR mendakwa bahawa Khairy menyembunyikan fakta bahawa Blackrock sudah bertapak di Malaysia sejak tahun 90an.

Dia turut bertanya Khairy apakah masih terperangkap dalam naratif 7 Oktober 2023 yang dimainkan negara-negara barat dengan merujuk sentimen dan emosi semata-mata tanpa melihat fakta keseluruhannya.

"Apakah Khairy juga pura-pura tidak tahu bahawa Blackrock telah berada dalam pasaran bursa negara sejak tahun 1990 dan kini merupakan pemegang saham kedua terbesar di bursa Malaysia? Dan adakah pengasas Blackrock Larry hanya menjadi Zionis pasca 7 Oktober dan sebelumnya beliau adalah seorang wahabi?" soalnya.

Dia turut mendakwa Khairy pernah dilantik sebagai pengarah dalam CGS Securities yang menurutnya sebahagian saham syarikat induknya juga dimiliki oleh Blackrock.

"Hipokrasi jenis apakah yang cuba ditonjolkan oleh Khairy?" soalnya.

Mengulas lanjut, Kamil mempertahankan bahawa kerajaan tidak pernah mempertahankan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan rejim Zionis Israel.

"Pendirian PM dan kerajaan dalam isu keganasan Israel terhadap rakyat Palestin adalah jelas. Dan kita adalah yang paling lantang dalam mempertahankan dan membela nasib rakyat di Palestin.

"Justeru, menggelar PM sebagai rakan subahat zionis Israel dalam jenayah genosid adalah melampau dan biadap," katanya.

Sebelum ini, sebuah konsortium yang terdiri daripada anak syarikat Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan Global Infrastructure Partners (GIP) telah mengumumkan tawaran untuk membeli saham MAHB dan menjadikannya sebagai syarikat swasta.

Khazanah dan KWSP mempertahankan pengambilalihan tersebut sebagai langkah untuk meningkatkan daya saing lapangan terbang Malaysia.

Pengarah Urusan Khazanah, Amirul Feisal Wan Zahir, bagaimanapun menegaskan bahawa Blackrock masih belum memperoleh GIP.

Ini walaupun Blackrock mengumumkan pada Januari bahawa ia memperoleh sepenuhnya GIP dan dijangka memuktamadkan perjanjian itu menjelang suku ketiga tahun ini, iaitu antara Julai dan September.

"Pihak yang dirunding oleh Khazanah ialah GIP. Blackrock hanya muncul pada tahun ini apabila berhasrat mengambil alih pegangan saham GIP.

"Dalam hal ini, Khazanah mahupun KWSP tidak pernah berunding dengan mana-mana wakil daripada Blackrock," katanya.

Katanya, Khazanah dan KWSP tidak menjual MAHB kepada entiti asing, sebaliknya terus meningkatkan pegangan sahamnya sehingga 70%.

Malah aset strategik ini juga akan terus dimiliki negara melalui Golden Share oleh Kerajaan Malaysia.