'Memang banyak perbincangan antara kerajaan dan pembangkang'
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil tidak mengesahkan mahupun menafikan khabar angin yang PAS akan menyertai gabungan kerajaan persekutuan.
Menjawab soalan pemberita berkenaan khabar angin itu, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata ada "banyak perbincangan" antara kerajaan dan pembangkang, terutama membabitkan kerajaan negeri.
Bagaimanapun dia tidak menjelaskan secara khusus jika kerajaan dan PAS ada membincangkan tentang perkara itu.
"(Soal) perbincangan, memang banyak berbincang.
"Kita lihat Bagaimana perbincangan antara Menteri besar daripada PAS, contohnya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, (serta) perbincangan di kalangan ahli parlimen dengan perdana menteri," katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon PRK Sungai Bakap, hari ini.
PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail.
Khabar angin penyertaan PAS itu muncul pada Oktober tahun lalu namun dinafikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, selepas Anwar berkata pintu sentiasa terbuka untuk PAS menyertai gabungan kerajaan persekutuan.
Sementara itu, Fahmi turut berkata dakwaan yang jentera kerajaan digunakan dalam kempen ini adalah tidak logic memandangkan tempoh kempen baru bermula hari ini dan Anwar dengan jelas mengingatkan jentera kerajaan tidak digunakan untuk tujuan politik.
"Itu adalah dakwaan liar, pertamanya kempen baru bermula hari ini.
"Arahan perdana menteri yang saya maklumkan sebelum ini adalah menteri dan juga kerajaan negeri (Pulau Pinang) perlu berhati-hati, berwaspada untuk tidak menyalahgunakan jentera kerajaan untuk berkempen," katanya.
Sebelum ini, Adun Manjoi Mohd Hafez Sabri menuduh kerajaan memberikan "gula-gula" walaupun sebelum tempoh PRK bermula.
Timbalan ketua pemuda PAS itu turut mencabar pemuda PH agar menggerakkan jentera sendiri sepanjang kempen nanti.
SPR menetapkan hari mengundi pada 6 Julai dan hari mengundi awal pada 2 Julai.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai