Skip to main
Logo Malaysiakini

Sanusi anggap isu latar akademik calon PN sebagai provokasi

Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

PRK SG BAKAP | Diasak tertubi-tubi dengan soalan berkait kelulusan akademik calon pembangkang, Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor beranggapan ia adalah pertanyaan bersifat provokasi.

Bagaimanapun dia yang juga Menteri Besar Kedah itu menjelaskan bahawa calon PN, Abidin Ismail, merupakan "calon rakyat" yang bersesuaian dengan kawasan di Sungai Bakap.

Katanya, Abidin merupakan bekas pegawai khas wakil rakyat sebelum ini, Allahyarhan Nor Zamri Latiff.

“Ini calon rakyat, dia duduk buat kerja dengan wakil rakyat sebelum ini.

"Pegawai khas Abang Zam (Nor Zamri Latiff) dia duk buat kerja tu,” katanya kepada media selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, Nibong Tebal, hari ini.

Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pertembungan satu lawan satu di kerusi berkenaan, iaitu di antara Abidin dan calon PH-BN Joohari Ariffin.

Sanusi ketika ditanya bagaimana jika dibandingkan kelulusan pendidikan di antara kedua-dua calon, Sanusi menegaskan, ramai orang yang "gagal" dalam politik walaupun memiliki latar pendidikan tinggi.

“Ramai orang berpendidikan tinggi, doktor, profesor, tapi dalam politik failed (gagal).

“Politik bukan duduk di pejabat macam kita kerja dengan jabatan, (sebaliknya) kena turun ke bawah (untuk mendekati) macam-macam isu, kena faham sosiopolitik, sosioekonomi dan macam-macam.

“(Soal) akademik bahagian lain, tak membantu pun.

"Ramai pemimpin politik tak ada kelulusan apa, tetapi intelektual bukan kerana kelulusan akademik tetapi duduk di sini (fikiran),” jelasnya.

Abidin Ismail (kiri) bersama Joohari Ariffin

Isu latar pendidikan calon mula menjadi perhatian apabila nama mereka didedahkan oleh parti masing-masing pada minggu lalu.

Joohari merupakan seorang pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dan pernah menjadi pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan utara sebelum meletak jawatan tahun lalu.

Abidin pula disebutkan sebagai seorang eksekutif logistik dan didakwa memiliki sijil ISO 14001 bagi Sistem Pengurusan Alam Sekitar. Hal itu diumumkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pada malam 15 Jun lalu.

Sanusi kemudian menjelaskan untuk menjadi seorang pemimpin politik yang baik, individu terbabit tidak semestinya perlukan pendidikan tinggi.

Katanya, kelayakan akademik perlu diadun kesemuanya secara menyeluruh.

“Bukan, itu kesimpulan awak sendiri. Kelayakan akademik kena diadun dengan kesemuannya. Kelayakan akademik semata-mata tidak menjamin kecemerlangan ahli politik.

“(Pun begitu) tapi nak kena ada kelulusan akademik juga, kena tahu membaca menulis juga," katanya.

Dia juga menambah ada ramai pemimpin yang tak ada PhD, master (sarjana), bukan bergantung semata-mata kepada kelulusan akademik. Saya tak ada master,” katanya.

Ditanya strategi PN tidak menonjolkan kelulusan akademik calon mereka, Sanusi berkata ia bersesuai dengan keadaan di kerusi terbabit.

“Soalan provokasi, sila jawab sendiri. Sila tamatkan soalan, itu semua provokasi,” katanya ketika ditanya jika kelulusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pun mungkin diambil menjadi calon.

Sementara itu Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula meletakkan keyakinan betapa isu-isu semasa dan setempat akan membantu kemenangan calon PN pada awal bulan depan.

“Calon kita (PN) pembantu kepada wakil rakyat sebelum ini, mendapat sokongan rakyat.

“Isu-isu nasional yang sekarang ini banyak buat rakyat terasa betul dengan apa yang berlaku akan membantu kita,” katanya.