Skip to main
Logo Malaysiakini

MIC ada pandangan 'berlainan sikit' di Sungai Bakap

Artikel ini sudah 16 hari diterbitkan

PRK SG BAKAP | MIC memutuskan mengambil pendirian berbeza daripada apa yang dilakukan mereka semasa di Kuala Kubu Bharu pada Mei lalu.

Kali ini di Sungai Bakap, kata pemimpin parti berkenaan, MIC tidak akan terlibat secara langsung.

Hal itu kerana, kata Presiden MIC SA Vigneswaran, parti itu mempunyai pandangan "berlainan sikit" berdasarkan perbezaan keadaan di Kuala Kubu Bharu dan Sungai.

"Di Sungai Bakap kita (MIC) akan membantu calon PH dengan apa yang kita mampu. Bagi PRK Sungai Bakap pendapat kita adalah berlainan sikit kerana kerajaan Pulau Pinang sangat kuat.

"Dalam DAP (di Pulau Pinang) ada banyak pemimpin India. Jadi, saya berharap mereka ini akan membantu calon PH untuk dapatkan sokongan pengundi India," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Pun begitu Vigneswaran berkata MIC tidaklah berlepas tangan atau enggan mengambil sebarang tanggungjawab bagi membantu kemenangan calon kerajaan.

Untuk rekod apabila PRK diadakan di Kuala Kubu Bharu, MIC pada awalnya juga mengambil keputusan untuk tidak terlibat membantu calon DAP di kerusi DUN Selangor berkenaan.

Bersama bilik gerakan BN

Bagaimanapun MIC mengambil sikap sebaliknya selepas diminta oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Malah MIC membuka bilik gerakan sendiri dan berkempen memenangkan Pang Sock Tao sekali gus mengekalkan penguasaan kerajaan di kerusi tersebut.

Jentera gerakan pilihan raya MIC di Kuala Kubu Bharu diketuai timbalan presiden parti terbabit, M Saravanan.

Namun, kata Vigneswaran, kali ini MIC tidak akan membuka bilik gerakan sendiri di Sungai Bakap.

"Kita tak akan buka bilik gerakan (tetapi) kami akan bekerja melalui bilik gerakan BN," katanya.

Pagi tadi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pertembungan satu lawan satu di kerusi di Sungai Bakap, iaitu di antara Abidin Ismail dari PN dan calon PH-BN, Joohari Ariffin.

SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap, sebelum diikuti dengan 2 Julai sebagai hari mengundi awal.

Menurut SPR untuk PRK ini seramai 39,279 pengundi berdaftar layak memilih calon untuk kawasan mereka.

Daripada jumlah itu 57 adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis atau ahli keluarga mereka.

Pengundi Melayu membentuk 59 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar diikuti Cina 22.5 peratus, India 17.4 peratus dan bangsa-bangsa lain 1 peratus.