Skip to main
Logo Malaysiakini

Abidin akui ada 'sedikit kesilapan' dalam isu ISO 14001

Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

PRK SG BAKAP | Beberapa hari selepas 'panas' dengan isu latar pendidikan yang dibangkitkan pihak lawan, malam tadi calon PN tampil membuat penjelasan terbuka mengenai kesahihan sijil ISO (Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian) yang dimilikinya.

Menurut Abidin Ismail, dia mengakui ada "sedikit kesilapan" semasa latar belakangnya diumumkan oleh pemimpin PAS dalam majlis pengisytiharan calon baru-baru ini.

Keadaan itu katanya kemudian dimainkan oleh pihak lawan dengan naratif tertentu.

“Itu orang bawa naratif, kita tak nafikan ada sedikit kesilapan.

"Sebenarnya sijil ISO bukan untuk individu, tetapi mana-mana syarikat atau badan-badan berkanun pun perlu ada ISO, piawaian pelanggan itu perlu ada ISO.

“Itu tak ada apa, mereka manipulasi isu saja,” katanya kepada media yang menemuinya semasa majlis Ceramah Perdana PN di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi PN Pahang Saifuddin Abdullah dan Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Terdahulu Abidin yang juga naib yang dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal menerima kritikan dan sindiran susulan diumumkan sebagai eksekutif logistik yang mempunyai sijil ISO 14001 Sistem Pengurusan Alam Sekitar.

Hal itu diumumkan Tuan Ibrahim Tuan Man pada malam memperkenalkan Abidin - atau Abang Abidin - pada 15 Jun lalu.

Selain itu isu taraf pendidikannya juga menjadi tanda tanya kerana perinciannya tidak ditonjolkan ketika dia diperkenalkan oleh Tuan Ibrahim sendiri.

Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun mempertahankan calon mereka itu sebagai individu yang sesuai dengan keadaan di DUN Sungai Bakap.

Dalam perkembangan berkaitan Abidin ketika menyampaikan ceramah menyatakan keyakinannya untuk mempertahankan kemenangan PN di kerusi Sungai Bakap.

“Hari pertama kempen saya turun menyantuni masyarakat di pasar malam Sungai Bakap, insya-Allah sambutan atau sokongan kita terima daripada pengunjung pasar malam itu nampak amat baik dan positif.

“Kita yakin mereka masih kekal bersama PN, insya-Allah kita harap majoriti kemenangan 1,500 lebih akan bertambah lagi,” katanya.