Skip to main
Logo Malaysiakini

Nafi PAS mahu sertai kerajaan, Tuan Ibrahim: Poodah!

Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

PRK SG BAKAP | Seorang pemimpin kanan PAS malam tadi memberi penegasan bahawa parti itu sama sekali tidak merancang untuk menyertai kerajaan perpaduan yang dikuasai PH-BN.

Timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tidak ada sebab untuk mereka mendukung kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim seperti yang dilakukan Umno.

“Hari ini sedang viral (tular) berita kononnya PAS sedang berunding untuk menyertai kerajaan perpaduan... poodah!

“Saya nak buat kenyataan penegasan: PAS tidak akan menyertai kerajaan PH-BN.

“Tidak ada sebarang perundingan, tidak ada sebarang perbincangan, (sama ada) mesyuarat dalaman parti atau bersama dengan PN,” katanya ketika menyampaikan berceramah pada program perdana sempena PRK DUN Sungai Bakap di Simpang Empat, Seberang Perai Selatan, malam tadi.

Ahli parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian sebagai mengulas laporan yang memetik kenyataan jurucakap kerajaan merangkap Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berhubung perkara itu semalam.

Bagaimanapun menurut laporan Malaysiakini, Fahmi tidak mengesahkan mahupun menafikan khabar angin yang PAS akan menyertai gabungan kerajaan persekutuan.

Menjawab soalan pemberita berkenaan khabar angin itu, Fahmi berkata ada "banyak perbincangan" antara kerajaan dan pembangkang, terutama membabitkan kerajaan negeri.

Bagaimanapun dia tidak menjelaskan secara khusus jika kerajaan dan PAS ada membincangkan tentang perkara itu.

"(Soal) perbincangan, memang banyak berbincang.

"Kita lihat perbincangan antara menteri besar PAS, contohnya dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, (serta) perbincangan di kalangan ahli parlimen dengan perdana menteri,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata PAS akan berpegang janji yang diberikan kepada rakyat sebelum ini, iaitu tidak akan mendukung Anwar dan DAP sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Tiada sebab kita nak dukung macam Umno. (Umni) Waktu kempen pada rakyat (uar-uarkan) no DAP no Anwar, wallahi, wabillahi, bersumpah.

“Selepas pilihan raya apa yang berlaku? Dia jilat, langgar balik sumpah dia. Masa kempen PH serang Umno... macam-macam serangan dibuat, rakyat percaya Umno takkan sokong Anwar dan DAP.

“Tiba-tiba selepas pilihan raya dia langgar keputusan parti dia.

"(Sebaliknya) PAS janji dengan rakyat no Anwar no DAP, kita akan pegang janji sehingga pilihan raya akan datang insya-Allah,” tegasnya.