Skip to main
Logo Malaysiakini

MyPPP tuntut layan secara bermaruah dari BN

Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

Parti MyPPP mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam sebarang kempen BN di Sungai Bakap selepas kecewa kerana dilayan seperti tiada maruah di Kuala Kubu Bharu pada bulan lalu.

Pemangku presidennya, Loga Bala Mohan, berkata susulan layanan yang tidak memuaskan itu, MyPPP akan menjauhkan diri daripada sebarang gerakan mendapatkan sokongan pengundi.

"Tidak boleh buat kita (MyPPP) macam, apabila suka ambil (manfaatkan), apabila perlu (baru) pakai... tak bolehlah.

"Mereka perlu faham, kami ada maruah, ahli kami ada maruah dan kalau kamu mahu (bantuan) kami, kami sedia bekerja, tapi datanglah jumpa, bantu kami," katanya ketika ditemui media di Bentong, Pahang, petang semalam.

Terdahulu, dia merasmikan Konvensyen MyPPP Pahang di Wisma MCA di Bentong.

Menjelaskan lagi keadaan mereka, Loga memberitahu MyPPP tidak pernah dijemput untuk menghadiri sebarang mesyuarat dan aktiviti anjuran BN sejak pembatalan parti itu ditarik balik oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada April 2023.

Katanya, tindakan meminggirkan MyPPP oleh BN adalah tidak adil kerana parti itu tidak pernah meninggalkan BN walaupun ketika gabungan berkenaan tewas dalam PRU 2018.

"Kami tidak mahu jadi Friends of BN. Kenapa nak jadikan (kami) Friends of BN sedangkan MyPPP tidak pernah meninggalkan BN.

"MyPPP perlu diiktiraf sebagai komponen dalam BN dan itu yang kami minta BN buat keputusan mengenai kedudukan kami," katanya

Sebelum ini, pendaftaran MyPPP pernah dibatalkan pada 2018 ekoran wujud dua kumpulan dengan masing-masing mendakwa sebagai pemimpin parti itu yang sah.

Satu kem diketuai M Kayveas manakala satu lagi dipimpin mendiang Maglin Dennis D'Cruz.

Kayveas pernah memimpin parti itu lebih dua dekad dan pada 2018 - beberapa hari menjelang PRU - dia meletak jawatan secara mengejut. Namun, dia menarik balik perletakan jawatan itu selepas beberapa hari kemudian.

Akibat tindakan Kayveas, MyPPP berpecah kepada dua kumpulan dan puak menyokong Kayveas berkeras untuk meninggalkan BN.

Sejak itu, BN masih belum membuat kenyataan rasmi mengenai status MyPPP sebagai parti komponen BN.

Dalam perkembangan berasingan, Loga menegaskan kemelut dalaman parti itu sejak 2018 sudah selesai sepenuhnya dan kini dalam proses kebangkitan semula.

"Kami akan mengadakan mesyuarat agung pada Ogos ini dan proses kemas kini ahli serta pendaftaran ahli baru, sedang giat dijalankan.

"Sebelum krisis berlaku, MyPPP ada lebih 500,000 ahli di seluruh negara, sekarang kami sudah dapat kembali sekitar 300,000 lebih," katanya.