Skip to main
Logo Malaysiakini

Kemenangan PH di Sg Bakap pun satu referendum, kata Joohari

Artikel ini sudah 13 hari diterbitkan

PRK SG BAKAP | Kemenangan calon PH-BN pada 6 Julai nanti akan menjadi referendum jelas terhadap sokongan rakyat terhadap kerajaan perpaduan, kata Joohari Ariffin.

Bercakap dalam sidang media hari ini, bekas pendidik dan pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan utara itu berkata, kerajaan yang ada sekarang mewakili perpaduan dalam kepelbagaian, dan berharap ia diteruskan di Sungai Bakap.

"Sebab tu apabila sekali kita berpadu (dalam kerajaan) macam ni, kita harap jangan patah balik ya... kita akan pelihara," katanya pada sidang media yang berlangsung selama 45 minit.

Joohari berkata demikian ketika menjawab naratif pesaingnya dari PN yang menyeru pengundi supaya menghantar mesej kepada Putrajaya bahawa rakyat tidak lagi berpihak kepada pentadbiran persekutuan.

Sambil memperkecilkan sentimen yang dimainkan lawannya, Joohari berkata naratif dibawa PN hanyalah satu lagi taktik mereka untuk cuba menarik sokongan pengundi.

Oleh itu Joohari merayu kepada pengundi di Sungai Bakap supaya memilih calon daripada part yang mencerminkan keharmonian kaum seperti yang dilksanakan pentadbiran persekutuan ketika ini.

"Saya harap kalau boleh perpaduan yang kita wujudkan ini betul-betul berlambangkan masyarakat di Malaysia sekarang, saya sedar ia betul-betul melambangkan masyarakat pada hari ini juga," katanya lagi.

Ditanya mengenai analisis berhubung majoriti tipis 1,563 diperoleh penyandang kerusi itu - daripada PN - pada pilihan raya sebelum ini, Joohari mengemukakan pandangannya mengenai tingkah laku pengundi dan cabaran yang bakal dihadapi.

“Kami tidak pernah gagal menghantar seorang Adun ke dewan undangan negeri sehinggalah tahun lepas,” katanya.

Kerusi Sungai Bakap mula dimenangi PKR yang mewakili Pakatan Rakyat pada PRU 2008 sebelum diteruskan melalui PH sehinggalah PRU ke-13 yang diadakan pada 2018.

Bagaimanapun pada pilihan raya negeri tahun lalu, calon PAS yang mewakili PN, Nor Zamri Latiff, merampas kerusi tersebut apabila mengalahkan Norhidayah Che Rus dari PKR dengan perbezaan 1,563 undi.

Mengulas lanjut mengenai peralihan pilihan pengundi baru-baru ini, Joohari berkata ia mungkin berpunca daripada pelbagai faktor.

"Ia mungkin disebabkan oleh isu sentimen, kepercayaan, dan persepsi. Kita perlu memperbetulkan persepsi ini dan mengembalikan kepercayaan mereka," katanya.

PRK DUN Sungai Bakap di Pulau Pinang akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Joohari dan Abidin Ismail mewakili PN.

Komposisi demografi Sungai Bakap meliputi majoriti Melayu 59.4 peratus, diikuti Cina 22.5 peratus, India 17.4 peratus, dan etnik lain 0.7 peratus.