Skip to main
Logo Malaysiakini

Nik Nazmi cabar PN tutup kilang berkaitan Blackrock di Kedah, K'tan

Artikel ini sudah 13 hari diterbitkan

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mencabar Perikatan Nasional (PN) menutup semua kilang milik Blackrock di Kedah dan Kelantan. Kedua-dua negeri ini dipimpin oleh pakatan pembangkang.

Nik Nazmi mengkritik pihak yang menurutnya mempolitikkan isu berkaitan Blackrock Inc, dan menyorot bahawa isu itu tidak ditimbulkan ketika PN berkuasa.

"Jadi saya nak cabar kalau ada orang PN yang nak minta kita tidak berurusan dengan mereka (Blackrock) langsung, maka mereka juga kena cepat cepat tutup kilang-kilang tersebut. Biar pekerja-pekerja tu hilang kerja. Dan kita boleh bincang,” kata Nik Nazmi (atas) semasa perhimpunan kempen Pakatan Harapan (PH) di Sungai Bakap malam tadi.

Kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu dibuat ketika kerajaan berdepan bantahan terhadap rancangan pengambilalihan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kerana berkaitan dengan Blackrock.

Perjanjian itu menimbulkan kebimbangan tempatan kerana Blackrock sedang mengambil alih GIP, salah satu pelabur dalam konsortium yang terlibat dalam pengambilalihan saham MAHB. Blackrock ialah firma AS yang mempunyai hubungan rapat dengan Israel dan melabur banyak dalam pengeluar senjata yang menyediakan senjata kepada rejim Zionis.

Bagaimanapun, GIP berkata pada hari Jumaat bahawa Blackrock tidak akan terlibat dengan MAHB, kerana pengurusan GIP masih akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas syarikat itu.

Pada hari yang sama, Anwar berkata Khazanah telah berbincang dengan GIP walaupun sebelum Blackrock memperoleh pelabur infrastruktur itu.

Dia juga berkata bahawa memutuskan hubungan dengan semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di Malaysia akan menjejaskan ekonomi.

Kontroversi itu semakin hangat apabila Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memfailkan usul tergempar ke Dewan Rakyat, menggesa perbahasan segera berhubung keputusan kerajaan menjual sebahagian saham MAHB kepada GIP.