Skip to main
Logo Malaysiakini

Adun Rembia ikrar berkempen 'all out' untuk PN di Sg Bakap

Artikel ini sudah 12 hari diterbitkan

PRK SG BAKAP | Selepas muncul bersama penyokong PN pada hari penamaan calon Sabtu lalu, Adun Rembia, Muhamad Jailani Khamis dilihat terus giat berkempen untuk membantu pembangkang.

Misalnya, bekas exco kerajaan Melaka yang digantung keahliannya oleh Umno itu dilihat tampil menyampaikan ceramah dengan bersemangat di pentas PN, malam tadi.

Dalam satu rakaman video yang dilihat Malaysiakini, Muhamad Jailani dalam ceramahnya melontarkan serangan terhadap kerajaan PH-BN.

Dia antara lain mengkritik sikap dan tindakan-tindakan kerajaan persekutuan dalam pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel.

Selain itu dia - yang juga pernah menjadi Adun PKR Melaka melalui PRU 2018 - turut menyentuh isu penjualan saham Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) kepada syarikat Blackrock yang didakwa sebagai syarikat pro-Israel.

Ketika dihubungi hari ini, Muhamad Jailani tidak teragak-agak memberitahu dia memang akan terus berkempen untuk memenangkan calon PN, Abidin Ismail, sepanjang tempoh yang berbaki ini.

“Ya, saya akan banyak berceramah sepanjang kempen di Sungai Bakap.

“Saya akan all out (bermati-matian) berkempen di sini," katanya kepada Malaysiakini.

Muhamad Jailani yang kini menjadi Pengerusi NGO Muafakat Nasional (MN) Melaka sebelum ini memberitahu Malaysiakini yang Umno menggantung keahliannya selama enam tahun.

Tindakan itu diambil susulan kontroversi kehadirannya berkempen di atas pentas PN semasa PRK Simpang Jeram di Johor, diadakan pada Ogos tahun lalu.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin Umno bertarikh 28 Ogos tahun lalu, Muhamad Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN untuk DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor pada 23 Ogos 2023.

Untuk rekod Muhamad Jailani merupakan ahli Umno Melaka sebelum menyertai PKR dan menjadi Adun Rembia pada 2018. Bagaimanapun dia bersama tiga Adun PH lain menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari.

Tindakan tersebut menyaksikan kerajaan PH Melaka akhirnya tumbang pada Mac 2020 dan digantikan dengan PN.

Sulaiman Md Ali kemudian diangkat menjadi Ketua Menteri Melaka ke-12 menggantikan Adly.

Selepas dipecat PKR, Jailani menyertai semula Umno pada Jan 2021 dan dia dipilih BN untuk mempertahankan kerusinya.