Skip to main
Logo Malaysiakini

'Kenapa Akmal tak berani bantah Blackrock ketika pentadbiran BN?'

Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan meminta Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh agar bersikap lebih jujur ketika memberi pandangan mengenai dasar-dasar kerajaan semasa.

Sathia mempersoalkan mengapa Akmal mengkritik pelaburan Blackrock di negara ini pada masa ini tetapi tidak tidak berbuat demikian ketika pentadbiran BN yang lalu.

"Saya pasti kerajaan tidak menghalang sesiapa termasuk pemimpin Umno ketika memberi pandangan khususnya bila anda tidak sehaluan dengan keputusan-keputusan kerajaan.

"Tapi ia mesti jujur. Jangan bertindak melontar kritikan-kritikan yang tidak jujur hanya untuk meraih populariti murahan," katanya.

Dia merujuk tindakan Akmal yang berterusan mengkritik usaha kerajaan untuk menjual saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

GIP kini dalam proses diambil alih oleh Blackrock, iaitu syarikat Amerika Syarikat yang mempunyai pertalian rapat dengan Israel, selain melabur dalam syarikat yang membekal senjata kepada regim Zionis.

Akmal baru-baru ini mempersoalkan kenyataan Anwar bahawa ekonomi Malaysia akan terjejas jika kerajaan memutuskan hubungan dengan semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di luar negara.

"Kita ada banyak lagi syarikat di luar sana yang ada kepakaran, yang boleh MAHB minta bantuan.

"Saya tak rasa bahawa kalau tiada Blackrock ini, MAHB akan hilang, akan bankrap," kata Akmal.

Dalam pada itu Sathia mempersoalkan mengapa Akmal dan Pemuda Umno tidak membantah kemasukan Blackrock ke Malaysia ketika pentadbiran BN sedangkan syarikat ini sudah berada di negara ini sejak 1990an.

"Saya berasa pelik apabila Akmal kata pemuda Umno tidak setuju dan meminta kerajaan menolak penjualan 30 peratus saham (MAHB) tersebut dan menggesa agar kerajaan menghentikan usaha tersebut kerana pemilik Blackrock, Larry Fink merupakan penyokong Israel.

"Tapi saya tak lihat Akmal memberi sebarang kenyataan berhubung bagaimana Blackrock boleh menjadi pemegang saham kedua terbesar di negara kita.

“Adakah Akmal tak berani kerana kerajaan ketika itu dipimpin oleh BN," katanya.