Skip to main
Logo Malaysiakini

6 MP Bersatu sokong Anwar masih duduk di blok pembangkang

Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

Ahli Parlimen Labuan, Suhaili Abdul Rahman berkata kedudukan enam Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), termasuk dirinya masih berada di blok pembangkang buat masa ini.

"Memang pun (masih di blok pembangkang) selagi Speaker (Tan Sri Johari Abdul) tak buat apa-apa keputusan, kami masih di blok (pembangkang) ini," katanya secara ringkas kepada pemberita, hari ini.

Suhaili adalah salah seorang daripada ahli parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Selain Suhaili, lima lagi ahli parlimen berkenaan ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Difahamkan, mereka masih dikekalkan di bahagian belakang blok E, iaitu sama dengan kedudukan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Terdahulu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, hari ini mengesahkan sudah menerima notis mengenai kekosongan kerusi enam ahli parlimen Bersatu itu.

Bercakap kepada media, Johari berkata, keputusan mengenai kedudukan enam ahli parlimen terbabit - yang terhenti keahlian mereka melalui pindaan perlembagaan oleh Bersatu - akan dimaklumkan dalam tempoh 21 hari.

Pada Khamis lalu, Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee mengemukakan notis itu kepada Johari bagi meminta agar enam kerusi parlimen disandang wakil rakyatnya dikosongkan.

Menurut Ronald yang juga Ketua Whip Bersatu, sebagaimana Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan perenggan 3, Speaker Dewan Rakyat perlu memastikan berlakunya kekosongan luar jangka dalam masa 21 hari selepas notis diterima.