Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengurusan pekerja asing: 'Kontrak Bestinet dilanjut dengan syarat lebih ketat'

Artikel ini sudah 14 hari diterbitkan

Kerajaan akan melanjutkan kontrak Bestinet Sdn Bhd bagi menguruskan Sistem Pengurusan Pekerja Asing (FWCMS) yang kontroversi, selama tiga tahun lagi.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata lanjutan kontrak itu bagaimanapun disertakan dengan syarat yang lebih ketat.

"Ya, (pelanjutan kontrak) sudah pun dimuktamadkan oleh jemaah menteri beberapa minggu yang lepas," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya lagi, kerajaan menubuhkan jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan dianggotai wakil Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia dan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk membincangkan syarat kontrak.

"Tugas jawatankuasa adalah untuk duduk dengan syarikat berkenaan supaya dibangunkan beberapa parameter untuk memperkemaskan pelaksanaan sistem ini supaya kebajikan kerajaan dan majikan yang menggaji pekerja asing dijaga dan kepentingan pekerja asing tak terabai," katanya.

Menurutnya, antara prinsip asas yang dibincangkan dalam kontrak baru adalah aspek mempercepatkan permohonan, mengurangkan kos migrasi, kebajikan pekerja asing dan kepentingan majikan.

Terdahulu, beberapa pihak menggesa kerajaan menilai semula sistem FWCMS dalam mengendalikan pengambilan pekerja asing serta Bestinet yang mengendalikannya.

Antara isu yang dibangkitkan adalah Bestinet dikawal secara persendirian dengan hubungan kuat dengan ahli politik terkemuka, serta bertentangan dengan agenda reformasi membabitkan isu pekerja asing.

Laporan Ketua Audit Negara 2022 pula antara lain mendedahkan ada banyak kelemahan yang berpotensi dimanipulasi, dengan contoh konflik kepentingan dan pelanggaran tadbir urus serta kawalan.