Skip to main
Logo Malaysiakini

Anwar gurau sedia rombak kabinet untuk 'selamatkan PM'

Artikel ini sudah 13 hari diterbitkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara berseloroh berkata dia sedia membuat rombakan kabinet sekiranya prestasi Malaysia gagal meningkat dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) pada tahun hadapan.

Bercakap pada majlis mesyuarat tahunan Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) di Kuala Lumpur hari ini, Anwar menjelaskan tindakan sedemikian untuk 'menyelamatkan PM'.

"Merujuk kepada laporan daya saing dunia, satu kritikan utama adalah kegagalan kami atau sekurang-kurangnya kekurangan keazaman (dan) komitmen untuk melaksanakan beberapa langkah yang kelihatan tidak popular, tetapi kami melakukannya.

"Jadi, pada fikiran saya, itu dengan sendirinya akan menyelesaikan komponen utama kritikan terhadap prestasi ekonomi di Malaysia. Saya berharap, Insyaallah, tahun hadapan akan mencatatkan laporan yang lebih baik.

"Jika tidak, anda tahu, saya akan dipaksa untuk membuat rombakan kecil dalam kabinet.

"Itu sahaja cara selamatkan perdana menteri," katanya bersambut gelak ketawa hadirin.

Anwar berkata demikian ketika memperincikan keputusan-keputusan kerajaan seperti subsidi diesel bersasar dan pelarasan tarif elektrik yang dilihat sebagai tindakan tidak popular.

Pagi tadi, ketika berucap di Dewan Rakyat Anwar mengakui kelemahan kerajaan di bawah pimpinannya berikutan penurunan kedudukan Malaysia sebanyak tujuh anak tangga pada Ranking Daya Saing Dunia (WCR) bagi tahun 2024.

Semasa sesi Soal Jawab Perdana Menteri, Anwar mengambil maklum laporan itu dan menggesa pendekatan yang lebih telus terhadap tadbir urus.

Anwar berkata dia telah mengarahkan kabinet untuk meneliti laporan tersebut secara menyeluruh dan membincangkan secara terbuka penemuannya.

"Ada memang kelemahan yang harus diperbaiki. Cuma saya minta perhatian bahawa secara umum, laporan itu masih mengekalkan kedudukan kita sebagai ekonomi yang stabil," katanya memberitahu Dewan Rakyat.

Malaysia jatuh ke tangga ke-34 tahun ini dari tempat ke-27 tahun lepas dalam ranking IMD, yang merupakan laporan tahunan komprehensif dan titik rujukan seluruh dunia mengenai daya saing negara.

Sebelum ini, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin membidas Anwar mengenai perkara itu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebelum ini menyatakan kedudukan itu akan bertambah baik memandangkan negara kini dipacu oleh peningkatan eksport produk berteknologi tinggi.

Anwar ketika berdiam diri apabila ditanya sekiranya dia akan merombak kabinet akibat kejatuhan ranking itu.