Skip to main
Logo Malaysiakini

Siasatan rasuah: Prolintas jamin beri kerjasama kepada SPRM

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung siasatan membabitkan kes pembinaan susulan penahanan warga kerja syarikat itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami komited dan bersedia untuk bekerja rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan.

“Prolintas terus komited dalam mengekalkan integriti dan tadbir urus korporat pada tahap tertinggi,” menurut syarikat konsesi lebuh raya itu dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan SPRM mengesahkan lapan individu termasuk tiga pengurusan tertinggi Prolintas direman selepas disyaki meminta serta menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.

Sementara itu, dagangan saham Prolintas Infra Business Trust (Prolintas Infra BT) telah digantung pada 9 pagi hari ini sepertimana diumumkan dalam makluman Bursa Malaysia.

Syarikat itu bagaimanapun menyatakan bahawa dagangan unit berkaitan Prolintas atau Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd, disambung semula pada 10 pagi ini. 

Malah, setakat 9.40 pagi ini, saham-saham syarikat konsesi lebuh raya itu kekal stabil pada 91 sen seunit.

Dalam kenyataan berasingan, Prolintas Managers Sdn Bhd (PMSB), Pengurus Amanah untuk Prolintas Infra Business Trust (PIBT), mengumumkan bahawa ahli lembaga pengarah terbabit yang direman SPRM telah diberikan cuti rehat berkuat kuasa serta-merta.

Menurut kenyataan itu, syarikat berkenaan akan meneruskan operasi seperti biasa dengan pasukan pengurusan eksekutif sementara, diketuai Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas PMSB Datuk Ikmal Hijaz Hashim, yang berpengalaman luas dalam industri lebuh raya.

Kenyataan itu turut menyebut gabungan kepakaran pasukan pengurusan eksekutif akan memastikan pengurusan Amanah diteruskan dengan lancar. 

"Lembaga Pengarah PMSB berpandangan bahawa tidak akan ada kesan kewangan dan operasi ke atas operasi PIBT.

"Lembaga Pengarah akan membuat pengumuman lanjut apabila terdapat sebarang perkembangan berkaitan," menurut kenyataan itu. 

- Bernama