Skip to main
Logo Malaysiakini

Sindiket guna ubat 'tidurkan' kanak-kanak untuk mengemis

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melumpuhkan sindiket menggunakan warga asing dan kanak-kanak untuk menjalankan aktiviti mengemis di sekitar ibu negara dalam serbuan di Jalan Sultan Azlan Shah malam tadi.

Lebih menyedihkan bayi dan kanak-kanak berusia antara 10 bulan hingga enam tahun diberikan ubat dipercayai untuk ‘ditidurkan’ sebelum dibawa oleh warga asing dewasa bagi menjalankan aktiviti mengemis sekitar Jalan Chow Kit, Jalan Masjid India dan Jalan Sentul pada waktu pagi.

Perbuatan itu dipercayai bagi meraih simpati orang ramai sekali gus meningkatkan pendapatan warga asing terbabit hasil daripada aktiviti mengemis.

Taktik itu terbongkar selepas JIM Kuala Lumpur menyerbu sebuah bangunan rumah kedai empat tingkat kira-kira jam 9 malam tadi.

Dalam serbuan itu mereka menemukan beberapa botol ubat batuk di kediaman yang disewa warga asing terbabit.

Difahamkan bangunan rumah kedai itu turut dijadikan petempatan untuk warga asing disyaki dari Pakistan, Indonesia dan India dengan kadar sewaan RM800 sebulan yang didiami kira-kira lapan individu dalam satu bilik kecil termasuk beberapa kanak-kanak.

Serbuan itu turut berjaya membongkar sindiket pemalsuan dokumen pasport yang berselindung di sebalik perniagaan kedai dobi, alat telekomunikasi dan kedai gunting rambut.

Wartawan Bernama yang turut menyertai serbuan itu mendapati bahagian belakang premis dijadikan pejabat operasi untuk sindiket berkenaan.

Perniagaan yang dijalankan di bahagian depan pula dipercayai sekadar mengaburi mata pihak berkuasa ekoran terdapat puluhan pasport dipercayai memiliki cop palsu di dalam premis itu.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan yang berakhir kira-kira 12 tengah malam tadi dijalankan berdasarkan hasil risikan selama enam bulan di lokasi itu.

Dia berkata serbuan menahan 79 warga asing dan seorang lelaki warga tempatan dengan semuanya berusia antara 10 bulan hingga 59 tahun.

"Seramai 77 warga Pakistan ditahan membabitkan 44 lelaki, 22 wanita, empat kanak-kanak lelaki, tujuh kanak-kanak perempuan selain seorang wanita Indonesia, seorang wanita India dan seorang lelaki tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Akta Pasport 1966 (Akta 150).

- Bernama