Skip to main
Logo Malaysiakini

UM dijangka tawar kursus pakar kardiotorasik Okt ini

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

PARLIMEN | Universiti Malaya (UM) dijangka menawarkan kursus latihan kepakaran kardiotorasik di institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit mulai Okt ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata ia bagi membolehkan graduan yang ingin mengikuti kursus berkenaan melanjutkan pelajaran di UM.

Katanya kursus berkenaan juga dijangka turut ditawarkan oleh IPT lain selepas itu.

“... di peringkat kementerian (Kementerian Pendidikan Tinggi), kita cuba cari pendekatan terbaik bagaimana kita mahu selesaikan masalah ini.

“Jadi Insya-Allah dalam tempoh yang terdekat, isu-isu seperti ini akan kita selesaikan dengan segera.

“Kita (kerajaan) jangkakan pada Okt nanti isu kursus berkaitan kardiotorasik ini akan dapat diselesaikan.

"Maknanya ada laluan (tempat) lain selain UiTM (Universiti Teknologi Mara), ada juga di universiti lain yang akan menawarkannya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Zambry berkata demikian bagi menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk membolehkan institusi lain menawarkan kursus latihan pakar kardiotorasik bagi mengatasi isu kekurangan pakar bidang tersebut di negara ini atau sebaliknya.

Menjawab soalan asal Ramkarpal yang ingin tahu sekiranya kerajaan bercadang membenarkan bukan Bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976, Zambry berkata pengekalan dasar UiTM untuk kaum Melayu, orang asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak masih diperlukan.

Menurut Zambry ia adalah usaha untuk merealisasikan hasrat kerajaan merapatkan jurang antara kaum, terutamanya yang melibatkan aspek sosioekonomi.

Laporan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 oleh Kementerian Ekonomi juga, katanya, menunjukkan masih terdapat jurang ekonomi melibatkan bumiputera dari segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir serta kelayakan profesional.

“... penubuhan UiTM adalah sebagai respons terhadap kekurangan golongan profesional yang terlatih, terutama dalam kalangan kaum bumiputera di Malaysia yang rata-ratanya terlibat dalam sektor pekerjaan tidak mahir pada ketika itu (dulu).

“Dengan tertubuhnya UiTM, lebih ramai anak bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian dan dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sama ada dalam sektor awam mahupun dalam sektor industri sebagai keperluan dalam meningkatkan kualiti hidup serta mengubah nasib mereka di Malaysia,” katanya.

- Bernama