Skip to main
Logo Malaysiakini

Bersih kecam pandangan Ahmad di Sg Bakap

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Bersih mengecam Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan kerana menganggap tidak salah bagi anggota kabinet menganjurkan program atau mengumumkan peruntukan semasa pilihan raya kecil berlangsung.

“Kami ingin mengingatkan bahawa amalan menggunakan sumber dan jentera kerajaan semasa berkempen adalah bertentangan dengan amalan baik pilihan raya yang bersih dan adil di peringkat antarabangsa.

"Sebagai contoh, Perkara 4(1) Deklarasi Inter-Parliamentary Union (IPU) menyatakan bahawa negara perlu memastikan ada pemisahan di antara kerajaan dan parti bagi memastikan pilihan raya bersih dan adil," kata NGO berkenaan dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Semalam, Ahmad berkata tidak menjadi kesalahan bagi menteri dan sesebuah kementerian menganjurkan program atau mengumumkan peruntukan ketika pilihan raya kecil berlangsung.

Kata ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu, isu tersebut pernah dibawa ke mahkamah sebelum ini tetapi keputusan tidak pernah menyebelahi pihak yang membangkitkan perkara berkenaan.

“Mahkamah memutuskan bahawa mereka (menteri) berada di sana berdasarkan jawatan kepimpinan kerajaan mereka untuk bertemu rakyat dan kebetulan ada pilihan raya kecil. Jadi, ia bukan satu kesalahan," katanya dilaporkan media kelmarin.

Menurut Ahmad keberadaan dia di Sungai Bakap pada malam tersebut adalah untuk memberi ceramah, sama seperti apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek, yang juga merupakan menteri pendidikan.

Bersih berkata di sebalik dakwaan Ahmad, orang ramai perlu tahu bahawa sebelum ini mahkamah pernah membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim pada 27 Jun tahun lalu.

Hal itu berlaku selepas pencabar Amzad berjaya membuktikan bahawa rasuah berlaku dengan niat untuk mempengaruhi pengundi PRU ke-15 pada 2022.

Selain itu, kata Bersih, pandangan Ahmad bertentangan dengan arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri pada 12 Jun yang mahu anggota kabinet mematuhi undang-undang pilihan raya ketika berkempen di Sungai Bakap.

“Kami juga telah mengeluarkan garis panduan 3C (no campaign, no condition, no candidate) untuk dipatuhi oleh kerajaan sementara semasa pilihan raya, sama ada Putrajaya atau kerajaan negeri.

“Oleh itu, Bersih akan terus mendesak parti-parti dalam kerajaan campuran, terutamanya dari PH, untuk menunaikan janji mereka sendiri selama beberapa dekad lalu.

“Jangan ulangi kesilapan yang sama dan adalah penting bagi kerajaan Madani untuk merancang dan memberikan garis masa yang betul tentang bila ia akan melaksanakan reformasi sistem pilihan raya,” katanya.

[Baca berita penuh]