Skip to main
Logo Malaysiakini

Pelaburan terkini Google pamer daya saing semasa Malaysia - Zafrul

Pelaburan terkini Google memaparkan daya saing Malaysia, kemudahan menjalankan perniagaan dan kepentingan yang semakin meningkat sebagai hab serantau untuk inovasi digital, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata pelaburan itu mengiktiraf potensi negara untuk menerajui ekonomi digital di rantau ini. 

“Ini amat penting berikutan Malaysia berhasrat untuk menggalakkan ekonomi digital secara giat di peringkat serantau apabila kita mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN pada tahun depan.

“Kehadiran Google bukan sahaja akan mewujudkan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi tetapi juga mempercepatkan transformasi digital perniagaan dan sektor awam kita, mengukuhkan kepimpinan teknologi kita dan menyokong kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi di Asia Tenggara,” katanya pada Google Cloud Malaysia Day hari ini.

Tengku Zafrul juga berkata pelaburan ini menjadi asas kukuh untuk Malaysia mengguna pakai teknologi awan sebagai batu loncatan untuk operasi dan inovasi perniagaannya, membuka peluang dan menyumbang kepada pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi Malaysia.

Beliau berkata pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), antara lain, menjadi faktor penting untuk membentuk masa depan sosioekonomi yang mampan dan inklusif selain teknologi awan adalah gerbang kepada masa depan yang lebih baik.

Katanya kerajaan MADANI mengiktiraf kuasa transformasi pendigitalan, pengkomputeran awan dan AI, menjadikannya pemacu utama dalam pelan hala tuju ekonomi negara seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Kami memahami bahawa melabur dalam infrastruktur awan dan menggalakkan pemikiran yang memberi keutamaan kepada digital adalah penting untuk mewujudkan masa depan yang mampan dan makmur untuk negara kita,” katanya.

Tengku Zafrul berkata impak positif daripada teknologi awan terhadap ekonomi Malaysia adalah jelas.

Ia meningkatkan produktiviti dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, katanya.

Katanya Malaysia telah menyaksikan peningkatan dalam kecekapan dan inovasi apabila industri menggunakan penyelesaian berasaskan awan untuk menyelaraskan operasi, mengautomasikan tugas dan mendapat maklumat daripada data.

Beliau berkata sektor pembuatan, terutamanya telah mengguna pakai teknologi yang dipacu awan untuk mengoptimumkan rantaian bekalan, memantau prestasi peralatan dan meningkatkan kecekapan pengeluaran.

“Industri penjagaan kesihatan juga telah menyaksikan manfaat yang ketara, dengan hospital memanfaatkan teknologi awan untuk meningkatkan penjagaan pesakit, mengurus rekod perubatan elektronik dan memudahkan perkhidmatan teleperubatan.

“Kemajuan ini bukan sahaja memacu produktiviti dengan memanfaatkan maklumat berdasarkan data tetapi turut mewujudkan permintaan terhadap profesional berkemahiran tinggi dalam bidang seperti analisis data, pembangunan perisian dan seni bina awan,” katanya.

- Bernama