Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangkaan ringgit mengukuh dah meleset beberapa kali, kata Fadhli

Artikel ini sudah 12 hari diterbitkan

PARLIMEN | Seorang ahli parlimen PAS telah menyindir kerajaan selepas beberapa ramalan mereka mengenai pengukuhan ringgit Malaysia "meleset" beberapa kali tahun ini.

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) memetik ramalan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan yang didakwanya tersasar.

Dengan nada menyindir melalui soalan tambahan, Ahmad Fadhli kemudian bertanya kepada Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, jika kerajaan masih mahu membuat ramalan baru mengenai kedudukan ringgit Malaysia berbanding dolar AS.

"Saya nak ingatkan timbalan menteri (Lim) pada tahun lepas, Nov 2023, Menteri Ekonomi menyatakan ringgit dijangka akan mengukuh pada tahun 2024.

"Pada masa itu ringgit RM4.65 (berbanding dolar AS), hari ini ringgit RM4.71... jangkaan itu meleset.

"Menteri Kewangan Kedua (pada Feb) menyatakan bahawa kita menjangka bahawa ringgit akan memulih pada separuh kedua tahun 2024 kepada RM4.50 per dolar AS.

"Jangkaan itu meleset sekali lagi," katanya.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS menambah adakah kerajaan bercadang untuk membuat jangkaan baru terhadap kedudukan ringgi Malaysia berbanding mata wang AS itu.

Langkah itu, sindirnya, bolehlah diuar-uarkan kepada orang ramai.

"Sebab separuh masa (penggal) kedua ni, tingga beberapa hari saja lagi nak masuk," katanya.

Lim Hui Ying

Tambahnya kedudukan ringgit yang melemah adalah perkara yang serius kerana ia memberi kesan besar kepada daya saing global Malaysia.

Sebagai maklum balas, Lim (PH–Tanjong) berkata ringgit dijangka terus stabil menjelang suku keempat 2024.

“Kami memantau dengan teliti (prestasi ringgit). Berbanding beberapa bulan lalu, kita berada di landasan yang betul,” katanya.

Terdahulu, Lim berkata ringgit telah mengatasi kedudukan mata wang serantau lain dan merupakan satu-satunya mata wang meningkat berbanding dolar AS sejak 26 Feb.

Mata wang serantau seperti rupee India pula menguncup - 0.8 peratus, selain dolar Singapura (- 0.8 peratus), yuan China (- 0.9 peratus), baht Thailand (- 1.8 peratus), dolar Taiwan ( -2.4 peratus), won Korea (- 3.9 peratus), peso Filipina (- 4.9 peratus), rupiah Indonesia (- 5.1 peratus) dan yen Jepun (-5.3 peratus).

“Justeru, Bank Negara Malaysia akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan mata wang dan pasaran pertukaran asing domestik.

“Ini termasuk operasi campur tangan untuk mengekang pergerakan mata wang yang berlebihan.

“Selain itu, BNM juga sedang giat memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit dan akan terus menggalakkan penggunaan mata wang tempatan dalam penyelesaian eksport bagi mengurangkan pergantungan kepada dolar AS,” katanya.

[Baca berita asal]