Skip to main
Logo Malaysiakini

MIC mula berkempen di Sungai Bakap

Artikel ini sudah 12 hari diterbitkan

PRK SUNGAI BAKAP | Di sebalik desakan sesetengah pihak supaya MIC berkecuali terlibat Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, parti itu mula berkempen menyokong calon Perpaduan Dr Joohari Ariffin.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengerusi Badan Perhubungan MIC Pulau Pinang J Dhinagaran berkata telah mengerakkan jentera par negeri untuk membantu calon pPerpaduan.

"Walaupun, MIC tidak mendapat sebarang jawatan dalam kerajaan negeri, tetapi kami berpegang kepada prinsip kami untuk menyokong calon Kerajaan Perpaduan.

"Presiden MIC (SA Vigneswaran) memutuskan untuk membantu calon. Maka, kami MIC Pulau Pinang mula membantu calon," katanya.

Semalam Pemuda MIC Pulau Pinang telah menganjurkan sesi beramah mesra bersama para pengundi India di DUN Sungai Bakap bertempat di Kuil Devi Sri Putthu Nagakanni Amman, Nibong Tebal.

Program itu dihadiri hampir 300 pengundi India menyatakan sokongan kepada calon perpaduan.

Sebelum ini, Vigneswaran berkata MIC memutuskan mengambil pendirian berbeza daripada apa yang dilakukan mereka semasa di Kuala Kubu Bharu pada Mei lalu.

Kali ini di Sungai Bakap, kata pemimpin parti berkenaan, MIC tidak akan terlibat secara langsung.

Katanya, hal itu kerana MIC mempunyai pandangan "berlainan sikit" berdasarkan perbezaan keadaan di Kuala Kubu Bharu dan Sungai Bakap.

"Di Sungai Bakap kita (MIC) akan membantu calon PH dengan apa yang kita mampu. Bagi PRK Sungai Bakap pendapat kita adalah berlainan sikit kerana kerajaan Pulau Pinang sangat kuat.

"Dalam DAP (di Pulau Pinang) ada banyak pemimpin India. Jadi, saya berharap mereka ini akan membantu calon PH untuk dapatkan sokongan pengundi India," kata Vigneswaran.

Pun begitu Vigneswaran berkata MIC tidaklah berlepas tangan atau enggan mengambil sebarang tanggungjawab bagi membantu kemenangan calon kerajaan.

SPR menetapkan 22 Jun sebagai hari penamaan calon bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Sungai Bakap, sebelum diikuti dengan 2 Julai sebagai hari mengundi awal.

Menurut SPR untuk PRK ini seramai 39,279 pengundi berdaftar layak memilih calon untuk kawasan mereka.

Daripada jumlah itu 57 adalah pengundi awal yang terdiri daripada anggota polis atau ahli keluarga mereka.

Pengundi Melayu membentuk 59 peratus daripada keseluruhan pemilih berdaftar diikuti Cina 22.5 peratus, India 17.4 peratus dan bangsa-bangsa lain 1 peratus.

Untuk rekod, sekumpulan ahli MIC berkata wujud rasa tidak puas hati atas dakwaan parti itu seakan dianaktirikan selepas tidak diberi sebarang peranan dalam kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang diperintah oleh PH.

MIC juga tidak bertanding pada PRN di enam negeri pada Ogos tahun lalu selepas tidak setuju dengan pengagihan kerusi.