Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Bagaimana dunia berubah dengan kecerdasan buatan

Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

Kemunculan kecerdasan buatan (AI) menjadikan idea garda depan oleh Alvin Toffler dalam bukunya Future Shock dalam tahun 1970 – tentang “masyarakat pascaindustri” yang akan datang – seakan sudah lapuk.

Bagaimanapun, Toffler memang meramalkan bahawa dunia kita akan menghadapi perubahan yang berterusan.

Beliau merasakan bahawa barangan yang digunakan pelanggan akan menjadi semakin bersifat pakai buang, reka bentuk produk akan mempunyai jangka hayat yang singkat, set kemahiran pekerja dan profesion akan berubah dengan cepat, sebahagian besar penduduk global akan menjadi nomad, iaitu, akan berlaku penghijrahan yang meluas dan sebagainya.

Saya telah menggunakan alat AI yang meluas, ChatGPT, untuk meringkaskan apa yang Jensen Huang, Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, syarikat bernilai berbilion dolar yang merupakan pelopor kepada kecanggihan AI, katakan sebagai kesan AI terhadap masyarakat:

  • AI ialah salah satu kemajuan teknologi paling berkuasa dalam sejarah, setanding dengan ciptaan internet dan elektrik. Huang sering menyoroti bagaimana AI berpotensi untuk merevolusikan setiap industri dengan menjadikan sesuatu proses lebih cekap dan membolehkan wujud keupayaan baharu.

  • AI boleh mengautomasikan tugasan yang berulang, membebaskan pekerja manusia untuk memberi tumpuan kepada aktiviti yang lebih kreatif dan kompleks. Ia boleh meningkatkan produktiviti dan inovasi dengan ketara.

  • AI boleh memainkan peranan penting dalam menangani perubahan iklim dan menggalakkan kemampanan alam. Huang telah menegaskan bahawa AI boleh mengoptimumkan penggunaan tenaga, mengurangkan sisa dan menyumbang kepada pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui.

  • Walaupun AI boleh memacu pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baharu, ia juga menimbulkan cabaran seperti perpindahan pekerjaan. Huang menyokong dasar dan program pendidikan untuk melatih semula pekerja dan menyediakan mereka dengan ekonomi yang dipacu AI.

  • Beliau menyedari kepentingan menangani implikasi etika dan sosial AI. Ini termasuklah memastikan sistem AI adalah adil dan telus, serta menghormati ruang peribadi. Huang menyokong usaha untuk membangunkan garis panduan dan piawaian untuk pembangunan dan penggunaan AI yang bertanggungjawab.

  • Nvidia telah berada di barisan hadapan dalam penyelidikan dan pembangunan AI. Huang sering bercakap tentang bagaimana teknologi Nvidia, seperti unit pemprosesan grafik (GPU) dan rangka kerja pembelajaran mendalam, membolehkan penemuan baru dalam AI.

Cabaran etika

Pandangan yang lebih menggelisahkan tentang AI ialah berkait penggunaannya dalam kehidupan seharian kita. Ia akan menimbulkan banyak isu etika, tadbir urus dan undang-undang yang serius yang perlu ditangani segera. Saya hanya akan menyentuh beberapa aspek yang lebih serius dalam masalah ini.

Isu yang serius ialah aplikasi AI yang mengakibatkan berlakunya berat sebelah dan diskriminasi dalam banyak dimensi kehidupan sosial.

Ambil contoh mudah: jika alat AI tertentu hanya berpusatkan kepada kaum lelaki, ia akan mewujudkan berat sebelah dan diskriminasi terhadap wanita. Ini juga berlaku melibatkan bentuk berat sebelah yang lain. Individu dan syarikat mereka yang di belakang pembangunan AI tertentu pastinya akan membawa bias nilai mereka serta syarikat mereka sendiri.

Syarikat AI merupakan syarikat yang mengaut keuntungan, oleh itu etika dan moral tidak akan menjadi keutamaan atau pertimbangan dalam penggunaan alatan dan produk AI. Dalam senario terburuk, alatan AI telah digunakan untuk menghasilkan deepfakes untuk tujuan politik serta hal yang tidak beretika lainnya.

Jadi peraturan yang komprehensif untuk mengawal kemajuan AI diperlukan supaya risiko berat sebelah dan cabaran etika tersebut dihapuskan atau sekurang-kurangnya diminimumkan.

Satu lagi bidang yang membimbangkan ialah penggunaan AI dalam penjagaan kesihatan. Implikasinya bukan hanya kehilangan pekerjaan kepada pekerja penjagaan kesihatan. Universiti Tsinghua pada tahun ini akan melancarkan hospital AI pertama di dunia, kononnya mampu merawat 3,000 pesakit setiap hari.

Bagaimanakah isu asas seperti perlindungan pesakit dikawal dalam hospital yang dikendalikan oleh AI yang dikendalikan nanti kebanyakannya oleh robot?

Satu lagi implikasi serius AI ialah bagaimana ia akan menjejaskan dunia yang dilanda perang seperti yang kita diami kini. Bagaimanakah kita mengehadkan atau mengawal penggunaan AI untuk membangunkan sistem senjata terkini? Adakah PBB atau mana-mana badan antarabangsa lain dapat mengawal perkembangan sedemikian?

Penggunaan model dan penyelidikan AI dalam kompleks industri ketenteraan kuasa global dunia juga sudah cukup jelas. Malangnya, tiada kawal imbang terhadap perkembangan tersebut.

Jadi walaupun benar bahawa AI telah berubah dan akan terus mengubah dunia kita menjadi lebih baik, ia sama sekali tidak jelas bahawa ia adalah ubat penawar untuk keadaan semasa keadaan manusia. - Aliran


JOHAN SARAVANAMUTTU ialah editor bersama, surat berita Aliran.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.