Skip to main
Logo Malaysiakini

Keputusan DNAA Zahid kekal, mahkamah tolak cabaran Badan Peguam

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi daripada tuduhan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Dengan keputusan hari ini, mahkamah tidak akan mendengar hujahan lisan untuk merit semakan kehakiman berkenaan.

Hakim Amarjeet Singh, juga memerintahkan Badan Peguam membayar kos sebanyak RM10,000 kepada peguam negara, yang merupakan salah seorang responden (responden lain ialah Zahid).

Amarjeet memutuskan bahawa isu kuasa peguam negara untuk memulakan atau menghentikan prosiding jenayah secara umumnya bukan perkara yang boleh diputuskan oleh mahkamah.

Hakim menyatakan bahawa kuasa perlembagaan peguam negara di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dianggap sah dan Badan Peguam tidak dapat mempertikaikan keabsahan tersebut.

Mahkamah juga menolak permohonan Badan Peguam agar mahkamah tinggi meneliti beberapa isu perlembagaan yang berkaitan dengan kuasa peguam negara untuk menarik balik kes jenayah terhadap Ahmad Zahid.

Pada 4 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, selepas pendakwaan memberitahu Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan prosiding.

Pada 2 Disember tahun lalu, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.

Badan Peguam diwakili bekas presidennya, Steven Thiru.

Manakala peguam negara diwakili Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dan Ahmad Zahid diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.