Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jangan usik tanah sekolah Tamil kami’

Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

Sekumpulan aktivis termasuk bekas pelajar membantah pengambilan sebahagian tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil  (SJKT) Bandar Kinrara, Puchong, Selangor bagi pelebaran jalan masuk ke tapak pembinaan kondominium.

Pengerusi pasukan bertindak selamatkan Sekolah Tamil Kinrara (Sakta), S Streram berkata pengambilan tanah berkenaan akan memberi kesan kepada fasiliti sekolah itu iaitu, kantin, tabika serta kelas muzik.

Oleh itu bekas calon PKR di Negeri Sembilan itu meminta kerajaan supaya campur tangan dan bertindak menghalang pemaju.

"Kemudahan sekolah telah dipertingkatkan dengan memperkenalkan kelas muzik dan tabika ekoran permintaan. Kini, kira-kira 700 murid sedang belajar di sekolah ini. 

“Justeru itu, boleh dikatakan sekolah tersebut merupakan tapak warisan negara dan masyarakat India.

"Kami faham bahawa sebarang pembangunan sedia ada perlu diambil kira pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dalam hal ini DBKL sepatutnya mempertimbang sensitiviti atau kesulitan pihak murid sebelum meluluskan pembangunan berdekatan sekolah,” katanya.

Dia mempersoalkan kenapa wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen kawasan itu tidak membantahnya.

Tinjauan pasukan itu bersama media mendapati kondominum berkenaan dibina berhampiran dengan sekolah dan jalan masuk ke perumahan itu agak kecil.

Jika pembesaran atau pelebaran dilakukan pemaju ia akan mengambil sebahagian daripada 8,823 kaki persegi keluasan tanah sekolah berkenaan.

Kondominium itu mempunyai 1,604 unit perumahan dan ia akan meningkatkan jumlah aliran trafik di kawasan berkenaan.

Streram berkata, dia telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Menteri Wilayah, Dr Zaliha Mustafa bagi meminta campur tangan kerajaan.

"Pagi ini saya menerima panggilan daripada pegawai Dr Zaliha yang memaklumkan hasratnya untuk bertemu saya bagi membincangkan perkara ini.

"Saya harap ia dapat diselesaikan kerana ini tanah sekolah yang telah dibina sejak tahun 1946," katanya lagi.

Katanya lagi, semakan pihaknya mendapati perumahan berkenaan diluluskan DBKL pada 2021 tanpa mengambil kira bahagian penting sekolah untuk tujuan pembesaran jalan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas pemaju.