Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuduhan terhadap saya berniat jahat - Aktivis alam sekitar

Presiden Persatuan Perlindungan Warisan Semula Jadi Malaysia (Peka), Shariffa Sabrina Syed Akil menegaskan tiga pertuduhan terhadapnya yang didakwa menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran dibuat secara mala fide (niat jahat).

Aktivis alam sekitar itu berkata demikian dalam notis usulnya untuk menggugurkan tiga pertuduhan jenayah itu di Mahkamah Tinggi Temerloh dua hari lepas.

Pada 15 Mac 2022, Shariffa Sabrina dibicarakan di Mahkamah Sesyen Raub terhadap tiga pertuduhan kerana menduduki tanah kerajaan negeri tanpa kebenaran di atas tiga lot tanah di daerah itu. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada Jun tahun sebelumnya.

Tanah terlibat didakwa dijadikan resort dan untuk aktiviti perniagaan oleh Tanah Aina Fareena Cafe & Restaurant, Tanah Aina Fahad Glamping Resort dan Tanah Aina Farrah Soraya Exclusive Eco Resort.

Shariffa Sabrina mendakwa pihak pendakwaan gagal mempertimbangkan bahawa mahkamah tinggi Temerloh telah membatalkan keputusan pejabat daerah dan tanah Raub (bertarikh 17 feb 2022) yang menolak permohonan Tanah Aina menduduki tanah sementara itu.

Aktivis alam sekitar berusia 62 tahun itu berkata pertuduhan itu cacat kerana pihak pendakwaan mengetahui status tanah berkaitan Tanah Aina, sekali gus melanggar Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara 1965 (KTN).

Shariffa Sabrina mendakwa responden (pihak pendakwaan) mempunyai pengetahuan bahawa permohonan dan kelulusan terdahulu bagi lesen pendudukan sementara adalah dipohon dan diluluskan di atas nama Tanah Aina Sdn Bhd dan bukan olehnya.

Dia menegaskan bahawa pertuduhan itu cacat kerana seksyen 428AA KTN jelas menyatakan bahawa sekiranya suatu kesalahan dilakukan oleh sesebuah syarikat, syarikat tersebut seharusnya dituduh dan bukannya pengarah syarikat sahaja.

"Tindakan Responden untuk memilih untuk memfailkan pertuduhan- pertuduhan tersebut terhadap Pemohon sahaja dan bukannya Tanah Aina Sdn Bhd jelas menunjukkan ‘mala fide’ Responden untuk memprejudiskan hak asasi Pemohon seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 5 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menerusi notis usul yang dilihat Malaysiakini, dia memohon tiga pertuduhan jenayah itu digantung secara kekal dan sebagai alternatif untuk ia dibatalkan.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 425(1)(a) KTN yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun.

Shariffa Sabrina yang dibenarkan diikat jamin diwakili oleh peguam dari firma guaman Raj & Sach.