Skip to main
Logo Malaysiakini

Tuan Ibrahim: K'jaan guna polis untuk ganggu, pantau pembangkang

Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

PARLIMEN | Ketua Pembangkang Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa kerajaan menggunakan agensi keselamatan untuk mengganggu dan memantau seteru politiknya semasa pilihan raya.

Berucap di Dewan Rakyat hari ini, Tuan Ibrahim (PN-Kubang Kerian) mendakwa ada banyak aduan berkenaan perkara itu, termasuk ketika kempen PRK Sungai Bakap yang sedang berjalan.

"Pertama, kami dapat aduan berkenaan penyalahgunaan anggota pasukan keselamatan semasa kempen (pilihan raya), termasuk di Sungai Bakap.

"Polis diarah ke tempat ceramah, (ada kala) sampai 10 orang untuk merakam, (buat) pantauan di bilik gerakan parti pembangkang.

"Ini ganggu hak asasi," katanya ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Dakwaan itu mengundang bantahan RSN Rayer (PH-Jelutong), yang berkata polis dikerahkan untuk memantau keadaan demi menjaga keselamatan.

RSN Rayer

Rayer berkata polis juga bertanggungjawab memastikan tiada pihak yang menyebarkan kebencian ketika kempen pilihan raya.

Menjawab balasan itu, Tuan Ibrahim berkata sementara dia bersetuju polis perlu menjalankan tugas mereka, ia tidak boleh dilakukan secara berlebihan.

"Saya akui pihak keselamatan ada hak buat rakaman, tapi sampai tahap masuk bilik gerakan dan pantau semua sekali, seolah-olah kebebasan politik kita ini terganggu," katany yang juga timbalan presiden PAS.

Tuan Ibrahim juga mendakwa polis akan mengambil gambar setiap kali di melawat ke kawasan DUN-nya, iaitu Cheka di Pahang.

Polis turut mengiring dan mengambil gambar mereka yang diundang ke programnya serta sumbangan yang dibuatnya kepada penduduk.

"Agensi keselamatan disalah guna untuk lindungi parti pemerintah, bukannya melindungi hak politik rakyat," katanya lagi.