Skip to main
Logo Malaysiakini

Penganjur: Kami tetap akan teruskan himpunan anti-Anwar

Artikel ini sudah 11 hari diterbitkan

Penganjur himpunan 'Rakyat Lawan Anwar' memaklumkan pihaknya akan tetap meneruskan protes itu yang dirancang diadakan di tempat letak kereta berdepan Kompleks Seri Perdana di Putrajaya pada Sabtu ini.

Ia di sebalik peringatan polis agar orang ramai tidak menyertai protes itu setelah tidak mendapat kebenaran pemilik lokasi, iaitu Perbadanan Putrajaya.

Peguam Pergerakan Demi Negara, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata pihaknya tidak perlu kebenaran oleh mana-mana pihak untuk berhimpun secara aman.

"Di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), pihak penganjur hanya perlu memberitahu kepada pihak polis mengenai perhimpunan itu. Ia dijamin oleh undang-undang. Ada keputusan mahkamah (sebelum ini) menyatakan tugas polis untuk memberi keselamatan kepada peserta.

"Polis tidak boleh ambil tindakan terhadap hadirin. Polis hanya boleh mengambil tindakan kepada penganjur sahaja. Maka, polis tidak boleh menghalang peserta daripada hadir," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Rafique

Muhammad Rafique juga berkata pihaknya telah menghantar surat kepada Perbadanan Putrajaya dan polis berkenaan himpunan itu, namun tidak menerima sebarang maklum balas rasmi.

Hari ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa berkata tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyertai himpunan berkenaan.

Rusdi berkata, ia tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012, selain Perbadanan Putrajaya yang tidak membenarkan kawasan tersebut digunakan.

Sementara itu, jurucakap Demi Negara Aidil Yunus, atau lebih dikenali dengan nama "YB Viral", berkata tujuan perhimpunan itu bukan untuk menjatuhkan imej Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebaliknya untuk memintanya menunaikan "tuntutan rakyat".

Aidil Yunus

"Setelah 18 bulan menjadi kerajaan, rakyat menghadapi pelbagai masalah dan kerajaan tidak kisah. Bagi kami Anwarlah masalahnya. Kami ada lapan tuntutan.

"Jadi, perhimpunan ini adalah surat amaran pertama kepada Anwar. Jika dia enggan menunaikannya, kami akan turun lagi di tempat lain mungkin di Tambun (kawasan Parlimen Anwar), Bagan Datuk (kawasan Parlimen Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi)," katanya.

Antara tuntutan mereka adalah menurunkan semula harga diesel, menangani kos sara hidup, memperbaiki keadaan kakitangan kesihatan awam dan memberikan peruntukan setara untuk semua wakil rakyat.

Aidil berkata alasan himpunan itu dilarang, iaitu kerana tidak mendapat kebenaran Perbadanan Putrajaya, tidak boleh diterima memandangkan ia merupakan badan di bawah kerajaan.

Dia juga berkata Unit Amal PAS telah menyatakan kesediaan untuk membantu mengawal perjalanan himpunan itu.

"Nasihat kami kepada peserta, berhimpun secara aman. Jika ada yang buat hasutan, kami akan tangkap dan serah kepada polis," katanya lagi.