Skip to main
Logo Malaysiakini

Rahman tampil perjelas kehadiran Hajiji ke mesyuarat Umno

Umno Tuaran tampil menjelaskan mengenai kehadiran Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor ke mesyuarat Umno bahagian itu yang dirasmikan Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Umno Tuaran Abdul Rahman Dahlan yang juga timbalan ketua Umno Sabah berkata Ahmad Zahid telah dimaklumkan dengan kehadiran Hajiji pada majlis itu.

"Mengenai kehadiran ketua menteri Sabah di mesyuarat perwakilan Umno Tuaran baru-baru ini, keputusan itu dibuat oleh Umno Tuaran kerana menghormati formasi kerjasama kerajaan perpaduan di peringkat nasional.

"Malah beberapa minggu sebelum Presiden Umno membuat keputusan untuk merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Tuaran, Ahmad Zahid sudah sedia maklum tentang kehadiran ketua Menteri Sabah dan rombongan sebagai jemputan khas ke mesyuarat Umno Tuaran," katanya pada kenyataan hari ini.

Rahman turut mendakwa ada usaha daripada pihak tertentu cuba menghalang Ahmad Zahid untuk hadir merasmikan mesyuarat Umno Tuaran yang dihadiri Hajiji.

"Siapa yang Umno Tuaran jemput untuk hadir di mesyuarat Umno Tuaran itu adalah hak Umno Tuaran.

“Lagi pun Umno Tuaran tidak pernah membantah kehadiran pemimpin-pemimpin Umno Sabah dalam majlis-majlis anjuran parti lain," katanya lagi.

Terdahulu hari ini Ketua Umno Sabah Bung Mokhtar Radin menegur tindakan Umno Tuaran menjemput ketua menteri Sabah ke majlis mereka.

Adalah tidak wajar, Hajiji yang memimpin GRS dijemput ke persidangan Umno yang sudah pasti akan menyentuh soal strategi parti.

Katanya, kehadiran Hajiji menyebabkan Ahmad Zahid terbatas untuk bercakap soal strategi Umno dalam menghadapi pilihan raya.

Menjawab kritikan Bung Mokhtar, Abdul Rahman berkata ucapan perasmian dalam mesyuarat perwakilan bahagian dibuat secara terbuka bukan tertutup.

"Semua orang akan mengetahui apa yang diucap oleh perasmi. Strategi politik sudah tentu tidak akan didedahkan dalam ucapan perasmian dalam majlis terbuka seperti itu," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman turut membidas Bung Mokhtar yang membuat keputusan secara sendirian berhubung dasar Umno di Sabah.

Dia memberi contoh soal kerjasama Umno dengan parti mana yang dimeterai pada pilihan raya umum akan datang, mendakwa Bung Mokhtar telah membelakangi pucuk pimpinan.

Katanya, Bung Mokhtar membelakangi arahan presiden Umno supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung perkara itu sebelum keputusan rasmi dibuat.

"Malangnya arahan presiden Umno itu tidak diendahkan. Kenyataan demi kenyataan telah dibuat kononnya Umno Sabah akan bekerja sama dengan Warisan sedangkan kepimpinan Umno Malaysia belum membuat sebarang ketetapan rasmi dan Umno Sabah sendiri belum pun bermesyuarat mengenai isu ini," tambahnya.