Skip to main
Logo Malaysiakini

Tinjauan: Isu bekalan air di Sungai bakap semakin pulih?

Artikel ini sudah 9 hari diterbitkan

PRK SG BAKAP | Masalah bekalan air bersih yang membelenggu sebahagian penduduk di kawasan Sungai Bakap didakwa semakin baik selepas ia bermula sejak sekitar lima tahun lalu.

Tinjauan Malaysiakini mendapati terdapat rungutan bahawa masalah itu berlaku sejak pengoperasi kawasan perindustrian di sekitar Batu Kawan, namun penduduk enggan mengulas lanjut mengenainya.

Sepanjang kempen PKR DUN Sungai Bakap berlangsung secara rasmi sejak Sabtu lalu, isu bekalan air antara perkara yang menjadi bahan kempen khususnya di pihak pembangkang.

Malah kedua-dua calon juga memberi penegasan bahawa isu air akan diperjuangkan mereka sekiranya diberikan mandat sebagai wakil rakyat pada 6 Julai nanti.

Beberapa laporan media sebelum ini menyatakan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyiapkan beberapa projek strategik membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM33.72 juta sejak tahun lalu dan suku pertama 2024.

Antara projek strategik utama yang telah disiapkan adalah modul rawatan air DAF di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor yang dibina untuk meningkatkan bekalan air sebanyak 10 juta liter sehari (JLH) di Seberang Perai Selantan (SPS).

Badan induk bekalan air negeri itu juga telah menyiapkan projek loji LRA mudah alih di Taman Sungai Duri Indah bagi mengurangkan masalah bekalan air terputus di kawasan SPS.

Selain itu semakan juga mendapati, PBAPP turut melaksanakan pemasangan tangki sedutan di Taman Widuri dan Taman Wellesley untuk mengurangkan masalah air di kawasan kejiranan di SPS.

Ia juga melibatkan projek penggantian dua unit injap kawalan utama 1.2 meter (m) di LRA Sungai Dua dan beberapa projek kerja air sampingan di 22 lokasi lain di seluruh negri bagi mengelakkan gangguan bekalan air tidak berjadual.

PBAPP juga melaksanakan kerja-kerja pelencongan saluran paip untuk menyambung dua saluran paip 600 milimeter (mm) di Sungai Perai sebagai inisiatif susulan saluran paip dasar Sungai 1.35m yang pecah dan menjejaskan 120,000 pengguna di negeri ini.

Harap selesai sepenuhnya

Sehubungan itu Malaysiakini cuba mendapatkan reaksi penduduk setempat mengenai isu berkenaan.

Seorang peniaga Ahmad Sabri Dahaman, berkata dia berdepan gangguan bekalan air sejak lima tahun lalu dan sepanjang tempoh itu gangguan kebiasaanya akan terputus pada waktu senja.

"Boleh kata tiap-tiap hari terutamanya dekat-dekat waktu nak Magrib (lewat petang) kadang-kadang hingga jam 11 malam pun ada.

"Memang bermasalah, waktu itu orang baru balik bekerja nak memasak dan sebagainya. Bukan air terputus berterusan tapi sekejap ada, sekejap tak ada.

"Macam saya ada tangki tambahan di rumah, kalau terputus bekalan boleh guna bekalan dari tangki tambahan, tapi kalau selalu terputus bosan jugalah," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, semalam.

Ahmad Sabri Dahaman

Tambah Ahmad Sabri, 50, masalah bekalan air di kawasan kediamannya itu semakin berkurangan akhir-akhir ini namun masih mengalami tekanan rendah.

"Macam rumah saya duduk di kawasan rendah sikit, jadi sekarang dah lebih baik berbanding sebelum ini walaupun tekanan rendah.

"Jadi kami berharap sangat masalah ini dapat diselesaikan secara menyeluruh," katanya.

Nor Zalina Mohd Isa

Bagi surirumah Nor Zalina Mohd Isa, 48, berkata bekalan air di kawasan perumahannya semakin stabil sejak beberapa bulan lalu.

Katanya ia susulan pembinaan sebuah tangki besar untuk menampung keperluan penduduk sekitar Taman Widuri.

"Tangki besar itu siap tak sampai setahun lagi, selepas itu bekalan air dah stabil.

"Kalau kawasan perumahan ini kira dah pulih, kalau tidak (sebelum ini) bekalan air tak menentu. Kadang ada pagi, waktu petang air tak ada," jelasnya.

Khabar sempena PRK

Seorang peniaga Izatul Suhaila, 36, berkata dia terpaksa menyediakan tangki tambahan sebagai inisiatif sokongan untuk mengelak gangguan jika berlaku bekalan air terputus.

"Macam saya sebagai peniaga terpaksa ambil inisiatif sendiri sediakan tangki besar di rumah untuk menyimpan bekalan air.

"Sebelum ini memang teruk, tapi sekarang dah okay tiada masalah lagi sejak dibina tangki besar," katanya yang juga tinggal di Taman Widuri.

Sementara itu penduduk flat Taman Seruling Emas, R Saraspadi, 65, turut mengakui mereka mengalami masalah bekalan air sejak beberapa tahun lalu dan masih belum diatasi.

"Ya kawasan ini memang ada masalah bekalan air, sudah bertahun-tahun. Saya pun tak tahu bila akan selesai.

"Sekarang pun berlaku lagi, kadang-kadang petang mereka tutup air, waktu pagi ada air.

"Sekarang bila pilihan raya mereka datang cakap akan selesai masalah air," katanya yang tinggal di situ sejak 24 tahun lalu.

R Saraspadi

Bagi seorang penduduk di pekan Sungai Bakap yang mahu dikenali sebagai Hong, 27, pula menyatakan dia tidak pernah mengalami masalah air di kediamannya.

"Saya tidak berdepan masalah ini, cuma ada sekali beberapa bulan lalu tetapi kami dimaklumkan lebih awal jadi boleh buat persiapan awal.

"Biasanya kalau ada gangguan penduduk akan dimaklumkan lebih awal dan bekalan terputus beberapa hari," jelasnya.