Apa kata MP tentang sistem pencen yang mereka mahu?
Isu pencen melibatkan wakil rakyat di negara ini menyaksikan ahli parlimen daripada kerajaan dan pembangkang berbeza pendapat.
Mereka yang ditemui dalam tinjauan yang dijalankan Malaysiakini diminta membuat tiga pilihan sama ada memilih untuk menerima satu pencen sahaja, bersetuju dengan cadangan untuk pencen digantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau status quo iaitu keadaan sebagaimana yang sedia ada tanpa dibuat sebarang perubahan.
Rata-rata ahli parlimen yang telah berkhidmat lebih dua penggal ditemui mahu skim pencen yang telah dilaksanakan sejak berpuluh tahun lalu dikekalkan.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin berpandangan ini kerana mereka berhak untuk menerimanya.
Kata Bung, khidmat seorang wakil rakyat sememangnya bukan kerja mudah.
Artikel berkaitan: Berapa banyak pencen wakil rakyat?
“Khidmat wakil rakyat ini tidak ada waktu, siang atau tengah malam bila rakyat memerlukan perkhidmatan, wakil rakyat perlu berkhidmat dan ini berbeza dengan kerja seorang guru.
“Guru ini dia bergantung kepada kerja jam, mula kerja jam 7 pagi dan mungkin berakhir jam 5 petang dan selepas itu mereka bebas dengan aktiviti mereka,” katanya.
Disebabkan itu, Bung membuat pilihan status quo iaitu menerima beberapa pencen.
“Memang (pilih) pencenlah dan ini yang berlaku sekarang. Kerana ini yang diguna pakai sejak bertahun-tahun.
“Pencen ini bagi ahli parlimen ia apabila berlaku apa-apa yang tidak diingini kepada kami sebagai ahli parlimen, ahli keluarga kita boleh warisi hasil pencen kita.
“Pencen yang diterima ahli parlimen ini tidak banyak tetapi ia bergantung kepada tempoh perkhidmatan atau 50 peratus daripada elaun yang diterima,” katanya.
Bagaimanapun, Bung berkata dia tidak ada masalah sekiranya kerajaan memutuskan untuk meminda skim pencen perkhidmatan awam pada masa akan datang.
“Kalau kerajaan dah putuskan apa-apa ketetapan ahli parlimen tidak boleh buat apa-apa dan kita akan akur saja,” katanya.
Dua perspketif
Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail berkata isu pencen wakil rakyat ini perlu dilihat dari beberapa perspektif.
“Sebenarnya ada di kalangan kami (wakil rakyat) ini bekerja profesional (sebelum ini yang memilik) gaji yang jauh lebih besar. Tetapi kita berkorban dan ini sebahagian daripada kita punya khidmat kepada negara kita terpaksa tinggalkan jawatan kita atau pun gaji besar yang kita perolehi yang mungkin jauh lebih berbeza dari dulu, jadi itu satu perspektif.
“Pada saya apa yang sedia ada ini mencukupi tetapi berkemungkinan besar ada juga ahli parlimen yang kadang-kadang dia telah melalui banyak peringkat, kemungkinan besar dia bermula dengan Adun dan kemudian jadi exco kerajaan, selepas itu dia ke parlimen, maknanya hayat dia berkhidmat kepada parlimen itu panjang. Jadi, itu mungkin kita boleh semak, ada bertindan kerana diberikan (pencen) kepada setiap jawatan tersebut,” katanya.
Menurut Rodziah, disebabkan itu baginya ia perlu dikendalikan dengan dua pandangan yang berbeza.
“Orang nampak kerja kami ini mudah, tapi tak juga. Jangan tengok waktu kami di parlimen saja tetapi lihat masalah yang kami hadapi, masa yang terpaksa kami luangkan, kadang-kadang tak kira hari, lebih-lebih lagi saya ahli parlimen wanita, ada macam-macam yang kita terpaksa hadapi,” katanya.
Bagi caruman KWSP pula kata Rodziah cadangan itu bagus namun ada kelompongan.
“Tentang KWSP pula, pada saya bagus juga dan kami pun ada berbincang jika ahli parlimen ada caruman Perkeso juga. Jadi kalau itu dikira dan boleh dinikmati oleh ahli parlimen berkemungkinan besar pencen itu boleh dikurangkan atau pun boleh diselaraskan semula.
“Itu pandangan saya tapi buat masa ini kami tidak ada itu semua dan kami tidak mempunyai keistimewaan caruman KWSP, caruman Perkeso pun kalau kita carum kita ada dapat sebagaimana pekerja pertengahan saja yang mendapat caruman tersebut jika berlaku apa-apa risiko kepada kami,” katanya.
Pilih satu pencen tertinggi
Berbeza dengan Ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man dia secara peribadi lebih selesa untuk hanya menerima satu pencen sahaja, walaupun dia boleh menerima beberapa pencen melalui jawatan yang dipegang di peringkat persekutuan dan negeri.
“Saya (secara peribadi) setuju untuk satu pencen sahaja dan kita akui bahawa sesetengah penjawat awam terutama jawatan politik dia ada beberapa pencen yang bertindan, dua atau tiga pencen untuk seorang.
“Jadi, saya fikir saya setuju perkara ini perlu diselaraskan. Biar wujud satu pencen tertinggi sahaja di antara tiga atau empat pencen yang diperolehi, pilih satu yang tertinggi,” kata Tuan Ibrahim.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata perkara ini perlu bermula dengan kerajaan perlu mengubah polisi sedia ada terlebih dahulu.
“Sebab polisi sekarang ini masih lagi kekal dan tiada perubahan lagi. Kita tidak ada pindaan,” jelasnya.
Menurut Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS lagi, mungkin ada faedah-faedah lain yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan juga dalam melaksanakan penyelarasan pencen wakil rakyat.
“Biasanya kita ini bila dah ada pendapatan yang agak besar, dia punya belanja pun besar. Jadi, bila kita potong semua, dua atau tiga punca pendapat ini mungkin dia ada risiko juga khususnya melibatkan kos sara hidup.
“Mungkin sebelum ini dia dapat lebih RM10,000 sebulan dan dia dah ada rancangan untuk belanja dengan pendapatan sebanyak itu, tiba-tiba kena potong tinggal RM2,000 atau RM3,000 sahaja, mungkin ia beri kesan,” katanya.
Pilih perkara betul bukan yang disuka
Manakala beberapa wakil rakyat muda yang dilantik mewakili parlimen masing-masing sangat bersetuju dengan cadangan pencen digantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata dalam isu pencen wakil rakyat ini perkara yang betul adalah lebih penting daripada perkara yang kita suka.
Sebagai bekas menteri belia dan sukan dan merupakan ahli parlimen dua penggal, Syed Saddiq berkata dia hanya layak menerima KWSP.
“Saya berasal daripada keluarga penjawat awam dan saya nampak mak saya dan rakan-rakan sejawatnya iaitu guru mengabdikan 40 tahun daripada hayat mereka sebelum layak menerima pencen.
“Ia bukan sahaja tak betul tetapi secara moralnya juga salah apabila seseorang itu dipilih dan layak menerima pencen seumur hidup yang nilainya berpuluh ribu ringgit. Bukan itu sahaja, tetapi pelbagai pencen dan jawatan tak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi lain yang memberikan bayaran,” tegasnya.
Kata bekas presiden Muda itu lagi, tidak adil dan tak wajar apabila seorang wakil rakyat menerima pencen seumur hidup serta-merta sebaik sahaja bergelar ahli parlimen.
“Tetapi guru-guru, penjawat awam, polis, pegawai tentera, yang bekerja berdekad-dekad selama hayat mereka tak dapat dan perlu menunggu berdekad dan hanya dapat serdak sahaja dari segi jumlahnya.
“Soalnya bukanlah perkara yang saya pilih tetapi perkara yang betul. Saya percaya kita perlu mereformasikan skim pencen dan ahli parlimen serta menteri bertukar kepada caruman KWSP dan saya akan menyokongnya sepenuh hati,”katanya.
Baca lanjut: Berapa banyak pencen wakil rakyat?
Turut memilih caruman KWSP, ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu berkata cadangan untuk pencen digantikan dengan caruman KWSP disambut baik kerana ia adalah sistem yang baik.
“Saya pilih caruman KWSP kerana saya sebagai bekas pekerja syarikat GLC negara, saya tidak pernah menerima pencen dan saya pun mencarum dalam KWSP selama hampir 15 tahun saya bekerja dan saya rasa ini sistem yang baik.
“Cuma mungkin sebagai ahli parlimen kalau boleh ditingkatkan caruman daripada pihak kerajaan sebab menjadi ahli parlimen ini macam mana ramai yang berkata bukan semua ahli parlimen ini orang yang berharta sebaliknya ramai di kalangan ahli parlimen ini meninggalkan kerja hakiki malah berkorban harta dan benda untuk menjadi wakil rakyat khususnya pembangkang jadi saya boleh faham sebahagian daripada kami berhujah mahu kekalkan pencen.
“Tetapi saya sebagai seorang profesional muda saya berpandangan saya bersetuju dengan caruman KWSP tetapi terpulang kepada pihak ahli parlimen yang lain kerana ini perlukan pindaan,” katanya.
Bantu negara bukan diri sendiri
Bagi ahli Parlimen Batu P Prabakaran yang turut memilih caruman KWSP berkata dalam isu pencen wakil rakyat ini kerajaan perlu meneliti tahap keutuhan kewangan negara.
“Menurut satu kajian, jumlah dana pencen yang menggunakan wang cukai orang ramai akan meningkat tiga atau empat kali ganda dalam masa 20 tahun akan datang. Jadi, saya memilih KWSP kerana ia lebih mampan dan boleh dipercayai dan kerajaan tak perlu belanja banyak wang pembayar cukai dan KWSP juga boleh melabur dalam pelaburan lain dan boleh dapat untung yang bagus yang boleh dikembalikan kepada pencarum,” katanya.
Tambah Prabakaran, pilihan caruman KWSP juga dibuatnya kerana dia menjadi wakil rakyat kerana ingin membantu negara, bukan diri sendiri.
Kupasan artikel interaktif oleh Kini News Lab sebelum ini meneliti pelbagai jenis pencen yang menanti ahli Parlimen pada dua pilihan raya umum lalu selepas mereka mencapai usia 50 tahun dan tidak lagi memegang jawatan.
Mengambil kira jawatan berbeza yang dipegang oleh ahli Parlimen sepanjang kerjaya mereka, termasuk di peringkat negeri, Kini News Lab mendapati pencen bulanan beberapa ahli Parlimen boleh mencecah lebih RM30,000 apabila mereka bersara.
Mereka layak menerima lebih dari satu pencen jika memegang jawatan di peringkat negeri sebagai Adun atau Exco kerajaan negeri, dan juga di peringkat persekutuan sebagai ahli Parlimen, menteri atau timbalan menteri, speaker atau timbalan speaker.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata ahli Parlimen harus melakukan apa yang "secara moral" betul dengan menerima hanya satu daripada beberapa pencen yang mereka berhak, tetapi keputusan terpulang kepada mereka.
Perdebatan tercetus apabila kerajaan berkata ia sedang mempertimbangkan untuk meminda skim pencen perkhidmatan awam, dan mungkin menukarnya kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dalam usaha mengurangkan kos pencen yang besar.
Walaupun kesan pencen Ahli Parlimen terhadap pendapatan kerajaan tidaklah terlalu besar, namun kata ahli ekonomi Muhammad Khalid, jumlah berkenaan adalah besar dari segi ringgit.
Dia menjangkakan kerajaan mampu menjimatkan RM2.4 juta setiap ahli Parlimen sekiranya skim pencen itu ditukar kepada caruman KWSP.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai