Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah akan dengar saman LFL isu undang-undang antiberita palsu S'pura

Saman Lawyers for Liberty (LFL) bagi menentukan sama ada Singapura boleh menguatkuasakan antiberita palsunya terhadap kumpulan hak asasi itu semasa berada Malaysia akan didengar di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman sivil itu.

LFL menyaman kerajaan Malaysia atas dakwaan kegagalan untuk menegakkan hak asasi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk kebebasan bersuara.

Singapura telah mengeluarkan 'notis pembetulan' kepada LFL berhubung blog kumpulan itu yang mengandungi dakwaan bahawa banduan Malaysia didakwa dibunuh secara kejam dan menyalahi undang-undang di Penjara Changi.

Abang Iskandar memutuskan Mahkamah Tinggi perlu mengemukakan saman itu kepada pendengaran penuh kerana ia membabitkan isu wilayah tambahan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) Singapura.

“Responden (LFL) melahirkan kebimbangan dan mahu mendapatkan penjelasan mengenai sejauh mana hak kebebasan bersuara mereka di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan berhubung kenyataan yang dibuat di Malaysia, yang menjadi perkara perundangan asing, iaitu Pofma.

"Ini sebenarnya merupakan isu yang berkaitan dengan bidang kuasa tambahan wilayah Pofma," kata Abang Iskandar bagi pihak hakim.

Panel hakim lain ialah P Nallini, Zabariah Mohd Yusof, Rhodzariah Bujang, dan Hanipah Farikullah.

Hakim memutuskan bahawa tuntutan mahkamah itu tidak melibatkan isu pencerobohan ke atas kedaulatan negara, yang mana mahkamah Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar.

Bagaimanapun, hakim membenarkan rayuan Peguam Negara (AG) untuk membatalkan saman LFL terhadap Menteri Dalam Negeri Singapura K Shanmugam, memutuskan bahawa tindakan itu berkaitan isu imuniti berdaulat.

Mahkamah berkata bahawa saman khusus ini bertujuan mencabar penggunaan kuasa menteri Singapura yang diperoleh daripada undang-undang yang digubal di republik itu.

Mahkamah Persekutuan tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

Pada Januari 2020, Singapura cuba menguatkuasakan Pofma terhadap LFL selepas kumpulan itu menyiarkan dalam talian butiran banduan Malaysia yang didakwa dihukum mati secara kejam dan menyalahi undang-undang di Penjara Changi awal bulan yang sama.

Singapura mendakwa bahawa dakwaan kumpulan itu yang disiarkan di laman web mengandungi "kenyataan fakta palsu".

LFL kemudiannya memfailkan dua saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, satu menyaman Menteri Dalam Negeri Singapura berhubung pengeluaran "arahan pembetulan" kerajaan Singapura di bawah Pofma terhadap kumpulan itu.

Saman kedua LFL bertujuan untuk menghalang kerajaan Malaysia daripada membantu Singapura dalam menguatkuasakan Pofma terhadap NGO itu.

Perintah pembetulan Pofma Singapura bertujuan untuk memaksa pihak yang bersalah membuat notis pembetulan bagi penerbitan yang dianggap palsu atau salah dan juga menyediakan akses kepada fakta yang betul.

Pada 10 Jun 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Peguam Negara dan kerajaan Malaysia untuk membatalkan kedua-dua saman itu.

Bagaimanapun, pada 20 Julai 2022, Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan rayuan LFL untuk mengembalikan kedua-dua tindakan sivil. Peguam Negara dan kerajaan kemudian merujuk ke Mahkamah Persekutuan.