Skip to main
Logo Malaysiakini

'Upin Ipin' pecah tabung bantu Selangor FC bayar denda

Artikel ini sudah 9 hari diterbitkan

Dua beradik yang digelar sebagai Upin dan Ipin menunjukkan semangat luar biasa dalam usaha mereka untuk membantu The Red Giants membayar denda yang dikenakan Malaysian Football League.

Ng Ho Wie dan Ng Ho Race, yang baru berusia sembilan dan lapan tahun, mengambil inisiatif ‘pecah tabung’ simpanan wang ‘motivasi’ yang diberi oleh bapa mereka, Ng Chee Kean.

“Mereka tahu tentang isu yang sedang berlaku antara Selangor FC dan MFL.

“Jadi mereka (dengan inisiatif sendiri) hendak derma (kepada Selangor FC) bagi membantu kelab itu membayar denda yang dikenakan MFL,” jelas bapanya.

Kata bapanya, semangat Upin dan Ipin dalam menjiwai dunia bolasepak serta sokongan padu terhadap skuad Gergasi Merah itu mendorong anaknya berbuat demikian.

Ho Wie dan Ho Race telah berkecimpung dalam bolasepak sejak tiga tahun lalu sebelum mereka menyertai Selangor FC Soccer School pada tahun ini.

Mereka mula menyertai akademi bolasepak pertama, Zamri Hassan Soccer Star pada tahun 2022 dan TSS Selangor pada tahun 2023, sebelum mereka menyertai akademi yang ditubuhkan Selangor FC.

Terdahulu, Selangor FC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025, susulan tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor bulan lepas.

Susulan itu, MFL mengurangkan denda terhadap Selangor FC daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 juga dibatalkan.

Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor FC dan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut dibatalkan.

Dalam pada itu, Ng memberitahu Malaysiakini mengenai sumber tabungan anaknya itu.

“Wang yang mereka dapat itu diberikan oleh saya pada setiap latihan dan jika mereka menjaringkan gol semasa perlawanan sebagai motivasi untuk terus bersemangat.

“Mereka akan terima sebanyak RM2 hingga RM3 setiap seorang.

“Tabung itu saya anggarkan telah mencecah RM300, saya pun tidak pasti kerana (terdiri daripada) bercampur duit syiling dan kertas,” jelasnya apabila ditanya mengenai jumlah wang terkumpul.

Ng berkata perkongsiannya di media sosial tentang dua anaknya itu bertujuan memberi inspirasi kepada ibu bapa lain.

Ini menurut Ng terutamanya untuk komuniti Cina yang dilihat kurang berkecimpung dalam sukan bola sepak.

Jelasnya lagi, anak-anak akan lebih bersemangat dalam sesuatu bidang yang diceburi jika ibu bapa sentiasa memberi dorongan positif kepada mereka.