Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Abang Abidin mara, Cikgu Joohari membara

PRK SG BAKAP | Pusingan minggu pertama persaingan di antara calon PH Joohari Ariffin dan calon PN Abidin Ismail menyaksikan perjalanan kempen berlangsung dengan lancar.

Kedua-dua pihak dilihat seimbang dari segi pendekatan yang diambil dan sokongan yang diterima dalam usaha mereka meraih undi. Malah strategi kempen secara terbuka juga menggunakan kaedah yang selari.

Mereka menjalani rutin seperti menyatuni pengundi ketika solat berjemaah di masjid, melawat pusat atau unit daerah mengundi, program walkabout di pasar awam atau pasar malam selain menghadiri ceramah-ceramah kelompok.

Sama ada Joohari atau Abidin, masing-masing mengambil peluang melalui program bertemu pengundi secara terbuka dan sememangnya ia amalan asas berkempen.

Namun yang lebih penting di sebalik tumpuan diberikan kepada calon, gerakan kempen secara senyap dan perang saraf juga perlu diambil kira dalam mencatur kemenangan.

Pergerakan jentera khususnya di peringkat sayap parti masing-masing sudah tentu bekerja keras untuk menerobos ruang-ruang yang mungkin tidak mampu dicapai calon itu sendiri.

Walaupun Abidin diselubungi kontroversi mengenai taraf pendidikan yang menjadi naratif kempen dalam kalangan penyokong PH-BN, pemerhatian Malaysiakini mendapati perkara tersebut tidak memberi masalah besar kepada Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu.

Tidak beri kesan besar

Abidin yang digambarkan sebagai 'calon rakyat' untuk mewarisi kepimpinan bekas Adun, Allahyarham Nor Zamri Latiff, dilihat sentiasa disambut baik penduduk setempat ketika turun berkempen.

Biarpun pada awalnya dia kelihatan agak kekok, kaku dan gugup berdepan khalayak khususnya ketika diminta berucap, kelemahan itu nampaknya dapat diatasi dengan agak baik selepas seminggu berkempen.

Malah dia kini berani berdepan soalan media dan menjelaskan dengan baik termasuk berkait isu sijil ISO yang menjadi 'peluru' pihak lawan.

Abidin dari sehari ke sehari memperlihatkan keyakinan dan terus mara sebagai seorang calon, manakala isu latar pendidikannya dipercayai tidak memberi kesan besar kepada pengundi akar umbi.

Bagaimanapun, dia - yang dikenali sebagai Abang Abidin pada kertas undi nanti - dilihat tidak memberi ruang yang luas untuk media berinteraksi dengannya dalam keadaan lebih selesa dan mencukupi.

Tindakan itu juga mungkin sebahagian daripada strategi kempen PAS-PN untuk meminimumkan salah percaturan dalam melontarkan kenyataan ketika menjawab soalan-soalan dari wartawan.

Di pihak calon PH pula, Joohari yang mempertaruhkan latar belakang pendidikan tinggi dilihat sentiasa bergaya dengan ‘penampilan cikgu’ ketika mendampingi masyarakat Sungai Bakap.

Sebagai orang dari kelas atasan, bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu tidak dapat lari daripada kejanggalan proses transisi untuk tampil sebagai ahli politik yang merakyat.

Dia juga memperlihatkan ada jurang dan kekakuan tertentu apabila berdepan dengan masyarakat ketika awal turun berkempen.

Teh tarik tanpa gula

Malah pendekatan Joohari ketika bersapa dengan pengundi pada awalnya kelihatan seperti terburu-buru, kecuali apabila ditegur bekas murid atau orang yang pernah dikenali. Hanya ketika itu barulah keadaan tidak begitu canggung dan menjadi perbualan menjadi lebih mesra.

Pada masa sama berdepan media juga tidak menjadi masalah besar bagi bekas guru itu.

Cuma ada ketika tertentu media berdepan sedikit masalah apabila dia misalnya menjawab soalan diiringi dengan permintaan "yang ini saya jawab off record ya".

Namun dalam tempoh bekerja ini Joohari juga semakin menunjukkan semangat yang lebih membara, serta kian mempamerkan keyakinan tinggi ketika merayu undi di pentas-pentas ceramah.

Di pentas kempen pula, seperti dijangka isu-isu nasional menjadi peluru utama bagi PN melancarkan serangan terhadap kerajaan perpaduan.

Isu kos sara hidup, rasionalisasi subsidi diesel dan prestasi kerajaan Pulau Pinang serta masalah setempat banyak dihujahkan untuk mengolak persetujuan rakyat.

PN juga dilihat banyak menyasarkan serangan mereka terhadap kepimpinan kerajaan khususnya Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pun begitu di sebalik keghairahan berkempen dan menyerang, pemimpin PN bagaimanapun tidak selalu berhati-hati sehingga sebalilknya yang tercedera ialah diri sendiri.

Misalnya bagaimana Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man cuba mencipta naratif khusus mengenai isu penyasaran subsidi diesel sehingga terlajak melabun dengan mengaitkan bahan api itu dengan pengguna motosikal.

Begitu juga Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin apabila mendakwa bakal ada pengapungan harga gula yang akan menyebabkan harga teh tarik meningkat, padahal teh tarik tidak dibancuh dengan gula.

Ia adalah suatu sifat cemerkap yang memperlihatkan seolah-olah PN terlalu terdesak sehingga tidak pedulikan fakta dalam menyampaikan hujahan bagi dicerap orang ramai.

Di pihak parti kerajaan pula, dapat difahami apabila pemimpin PH-BN terpaksa menggunakan masa lebih banyak untuk memberi penjelasan isu-isu berkenaan bagi menangkis dakyah pembangkang.

Ia dilakukan sambil-sambil mereka gigih mempromosikan ketokohan Joohari selain menguar-uarkan kelebihan bekas pendidik itu sekiranya menjadi wakil rakyat kerajaan kawasan Sungai Bakap.

Justeru, berdasarkan tempoh seminggu berkempen yang sudah berlalu, nampaknya masih sukar untuk memberi ramalan awal pihak manakah yang bakal mengungguli DUN Sungai Bakap pada 6 Julai nanti.

Pengundi-pengundi yang tidak terlibat dengan kerja-kerja kempen juga tidak terlalu menunjukkan isyarat kecenderungan mereka, bahkan seimbang melayan dengan baik calon-calon yang datang berkempen.

Situasi itu dapat dilihat ketika Abidin dan Joohari bertembung di lokasi kempen yang sama. Melihat keadaan itu, reaksi orang ramai di lokasi tersebut hanyalah sekadar menyambut baik sapaan mereka dengan jawapan "insya-Allah", atau berbasa-basi dengan "Ya, ya" saja atau "Kita undi."

Ia dilihat sekadar respon yang belum cukup menjamin sasaran manakah undi mereka akan dipangkah.

Apa yang pasti di pihak PH-BN, peralihan kembali sokongan penyokong atau ahli Umno kepada calon kerajaan sangat diharapkan berlaku untuk merampas kerusi itu.

Dalam tempoh berbaki sebelum hari pembuangan undi 6 Julai nanti, suasana kempen dijangka akan lebih meriah dengan kehadiran pimpinan utama kedua-dua pihak.

Sama ada PN atau PH-BN, kedua-dua pihak masih perlu melipatgandakan usaha mereka khususnya untuk memastikan pengundi putih mereka turun memangkah calon yang diingini.

Kebergantungan kepada pengundi putih dalam situasi ini cukup bermakna untuk menentukan kemenangan mereka, selain mengharapkan kecenderungan pengundi atas pagar.