Skip to main
Logo Malaysiakini

Rakyat dah boleh nilai retorik pembangkang, kata Zambry

Pengarah Pilihan Raya BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Zambry Abd Kadir, yakin rakyat semakin bijak menilai isu dibangkitkan pembangkang yang sekadar bersifat retorik untuk meraih sokongan ketika berkempen.

Zambry berkata perkara sama juga dilakukan pembangkang ketika mereka bertanding semasa PRK DUN Kuala Kubu Bharu di Selangor, serta PRK Parlimen Pulai di Johor sebelumnya.

“Tetapi rakyat dapat membezakan antara hanya ucapan kempen dan retorik... maka tentunya rakyat dapat fikir bahawa yang paling mustahak ialah siapa yang dapat memberikan khidmat terbaik kepada mereka,” katanya.

Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Dungun di Dungun, Terengganu hari ini.

Mengenai naratif buruk terhadap kerajaan perpaduan yang dimainkan pembangkang di Sungai Bakap, Zambry berkata, kerjasama PH dan BN di sepanjang kempen - yang kini memasuki minggu kedua - juga sangat baik dan memberi indikasi positif untuk dinilai rakyat.

PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara calon PH, Joohari Ariffin, dengan dan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail mewakili PN.

Sungai Bakap merupakan satu daripada tiga DUN di bawah Parlimen Nibong Tebal dan mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

- Bernama