Skip to main
Logo Malaysiakini

Kempen PN di Sg Bakap sudah hilang punca, kata Rafizi

PRK SG BAKAP | Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menyifatkan kempen PN sudah "hilang punca".

Dalam sidang media hari ini, Rafizi berkata gabungan itu langsung tidak memberi tumpuan terhadap isu setempat, sebaliknya hanya memainkan isu di peringkat nasional.

"Nampak sangat PN hilang punca dalam kempen PRK kali ini kerana mereka tidak memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih penting kepada penduduk Sungai Bakap, serta kemampuan calon untuk memberi khidmat terbaik untuk pengundi di sini," katanya dalam sidang media di Sungai Bakap, hari ini.

Rafizi mengulas kenyataan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin ketika kempen semalam berkenaan rakyat akan berdepan satu lagi kejutan berkenaan penyelarasan subsidi.

Muhyiddin merujuk kenyataan Rafizi bahawa kerajaan akan menggunakan strategi sama seperti penyelarasan subsidi diesel, iaitu dengan tidak membuat makluman awal kepada umum berkenaan sebarang keputusan berkaitan penyelarasan subsidi petrol RON95.

'Dasar tak popular'

Rafizi yang juga menteri ekonomi berkata PN mengambil kesempatan memainkan emosi rakyat dalam hal yang sudah diketahui memerlukan campur tangan kerajaan, seperti dasar subsidi pukal dan pengukuhan kedudukan kewangan.

"Muhyiddin boleh memainkan isu, (tetapi) saya ingat rakyat sedia maklum rekod pentadbirannya.

"Apabila kerajaan Madani ambil alih, kami juga terkejut dengan hutang yang mereka tinggalkan. Kita tak ada pilihan lain selain mengambil keputusan-keputusan yang boleh membina daya saing negara di masa akan datang," katanya lagi.

Langkah kerajaan untuk melaksanakan penyelarasan subsidi bagi diesel untuk Semenanjung Malaysia dikritik hebat PN.

Bagi menggantikan subsidi pukal, kerajaan menyediakan bantuan tunai RM200 kepada pengguna kenderaan diesel persendirian dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi untuk perniagaan.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata beberapa dasar tidak popular perlu dilaksanakan bagi pertumbuhan ekonomi menerusi langkah yang dapat mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

"Sementara kita tak menyerang mereka dengan rekod hutang dan perbelanjaan mereka semasa jadi kerajaan, saya ingat rakyat boleh menilai sendiri bahawa tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan Madani sebenarnya diwariskan oleh kerajaan Muhyiddin sendiri," katanya lagi.

Rafizi berkata pengundi atas pagar adalah kunci untuk kejayaan kempen kali ini.

"Dalam minggu kedua (kempen), sasaran dan fokus kami, selain memperhebatkan lagi momentum, ialah untuk memastikan naratif kempen berlaku dengan baik dan sampai terutamanya kepada pengundi atas pagar," katanya.