Skip to main
Logo Malaysiakini

Himpunan anti-Anwar: Nak protes depan kucing saya pun boleh, kata Rafizi

PRK SG BAKAP | Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata penganjur himpunan "Rakyat Lawan Anwar" di Putrajaya hari ini bebas untuk menggunakan hak mereka untuk mengadakan protes.

Kata Rafizi lagi, tiada masalah jika mereka ingin mengadakan protes di depan kucingnya.

"Sebagai anggota kerajaan Madani, saya merasakan (protes) itu hak masing-masing.

"Mereka nak protes depan kucing saya pun boleh, saya rasa tak ada masalah," katanya ketika sidang media di Sungai Bakap, Pulau Pinang hari ini.

Rafizi yang sering mengadakan protes antikerajaan ketika pentadbiran Najib Razak, menegaskan sesiapa saja ada hak untuk membantah mana-mana kerajaan yang memerintah asalkan ia tidak melanggar undang-undang.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan berkenaan himpunan yang dianjur kumpulan pro-PN, Pergerakan Demi Negara berdekatan Seri Perdana, iaitu kediaman rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Demi Negara Aidil Yunus, juga dikenali dengan nama "YB Viral", berkata protes itu membangkitkan lapan tuntutan, antaranya agar kerajaan menurunkan harga diesel, menangani isu kos sara hidup, meningkatkan memperbaiki keadaan kakitangan kesihatan awam dan memberikan peruntukan setara untuk semua wakil rakyat.

Mengulas isu kos sara hidup yang tinggi, Rafizi berkata ia bukan berlaku di Malaysia sahaja, namun menjadi isu utama dalam pilihan raya yang sedang berlangsung di negara-negara lain.

"Memang ini isu global. Di mana-mana pilihan raya, sekarang ada pilihan raya besar di seluruh dunia, di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis," katanya lagi.

Dalam pilihan raya di ketiga-tiga negara itu, katanya lagi, kos sara hidup menjadi isu utama, dengan negara-negara masih dalam proses mengimbangi impak pasca wabak Covid-19.

"Sementara ia bukanlah sesuatu yang boleh disampaikan dengan cepat untuk difahami, saya percaya ada beberapa perkara yang akhirnya membolehkan rakyat menghargai yang tindakan yang telah diambil kerajaan persekutuan sekarang ini akan meletakkan negara dan masyarakat pada landasan yang betul untuk kita tangani cabaran kos sara hidup," katanya lagi.