Skip to main
Logo Malaysiakini

'Surat amaran pertama' - 150 sertai protes Anwar depan Seri Perdana

Penganjur himpunan "Rakyat Tolak Anwar" di Putrajaya hari ini memberi tempoh enam bulan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membuat penambahbaikan dan menangani tuntutan mereka.

Jurucakap Pergerakan Demi Negara Aidil Yunus berkata, himpunan yang dibuat di depan kediaman rasmi perdana menteri itu adalah "surat amaran pertama" kepada Anwar.

Dia yang juga dikenali dengan nama "YB Viral" berkata, pusingan pertama protes mereka bukan bertujuan menjatuhkan Anwar, tetapi ia boleh berubah jika Anwar tidak melakukan perubahan.

"Ramai sahabat mahu Anwar turun, tapi objektif hari ini bukan untuk Anwar turun, tetapi agar dia 'buck up' (meningkatkan prestasi).

"Seperti semua pengurusan prestasi yang lain, kali pertama buat salah kita beri surat amaran.

Aidil Yunus

"Jadi kita berlaku sangat adil kepadanya. Tetapi kita cuma akan bagi tempoh enam bulan kepadanya, sehingga ulang tahun keduanya sebagai perdana menteri.

"Jika tiada perubahan, saya sanggup pergi lebih jauh iaitu untuk benar-benar jatuhkannya," katanya.

Aidil berkata Gerakan itu telah membuktikan kemampuannya apabila berjaya berhimpun di depan kediaman rasmi Anwar untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Antara tuntutan yang disuarakan adalah agar kerajaan menurunkan harga diesel, menangani isu kos sara hidup, meningkatkan memperbaiki keadaan kakitangan kesihatan awam dan memberikan peruntukan setara untuk semua wakil rakyat.

Protes seterusnya di Tambun

Aidil berkata pihaknya memberi tempoh 30 hari kepada kerajaan persekutuan untuk menjawab tuntutan mereka.

Jika tiada sebarang maklum balas, katanya, Demi Negara akan menganjurkan lebih banyak protes dengan kawasan Parlimen Anwar, iaitu Tambun menjadi destinasi seterusnya.

"Ini kerana Tambun adalah kawasan Parlimen paling penting pada masa ini," selorohnya.

Himpunan tersebut bermula pada kira-kira pukul lima petang tadi, di tempat letak kereta awam di luar Kompleks Seri Perdana.

Aidil mendakwa seramai 300 hingga 500 hadirin menyertai himpunan itu, manakala anggaran polis kira-kira 150 orang.

Berpakaian hitam, hadirin melaungkan pelbagai slogan, antaranya "reformasi", "turun Anwar" dan "hidup rakyat".

Mereka dipimpin oleh barisan aktivis politik dan pempengaruh media sosial, antaranya bekas pemimpin PKR Badrul Hisham Shaharin, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, Tun Faisal, penyanyi Dayangku Intan dan Aidil.

Himpunan dipantau polis dengan hadirin mula bersurai kira-kira dua jam selepas itu.