Skip to main
Logo Malaysiakini

Joohari tawar manifesto ‘Padu’ untuk Sungai Bakap

PRK SG BAKAP | Calon PH Joohari Ariffin menawarkan manifesto ‘Padu’ sebagai iltizamnya kepada penduduk di Sungai Bakap yang dilancarkan dalam program ceramah perpaduan di Kampung Padang Lalang, Simpang Ampat, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Joohari yang juga bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara menonjolkan akronim ‘Padu’ iaitu P mewakili prasarana dan progresif, A untuk akhlak, akademik dan anak muda, manakala D merujuk kepada damai, dan U membawa maksud untuk semua.

Dia bertekad mahu memastikan kemudahan awam kawasan itu di tahap yang baik dan memenuhi keperluan penduduk menerusi inisiatif prasarana dan progresif.

Antaranya melibatkan projek infrastruktur air dan lalu lintasbiaitu loji rawatan air (LRA) Sungai Kerian, Projek Air Perak-Pulau Pinang, pembinaan sambungan jalan di Bandar Tasek Mutiara disempurnakan.

Selain itu calon pilihan PH-BN mahu fasiliti wad bersalin dan rawatan pakar geriatrik di Hospital Sungai Bakap untuk ibu mengandung dan warga emas serta menjadikan kawasan itu sebagai pusat pengeluaran produk mikro halal.

Joohari juga berazam meningkatkan penyertaan usahawan wanita dalam Amanah Ikhtiar Malaysia dan mewujudkan pusat aktiviti warga emas (Pawe).

Bagi inisiatif 'akhlak, akademik dan anak muda', pemegang ijzah sarjana kedoktoran (PhD) itu mahu meningkatkan akhlak dan kecemerlangan akademik anak muda menerusi tuisyen rakyat secara percuma bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mengembangkan program seperti sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (Stem), Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) dan program kecerdasan buatan (AI) menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) dan Digital Penang.

Selain itu Joohari juga merancang merancakkan program jati diri dalam meningkatkan semula 'self-esteem' remaja dengan mewujudkan kaunter tetap mencari pekerjaan melalui pusat kekal MyFutureJob, menambah dan menaiktaraf fasiliti sukan.

Bekas guru itu turut beriltizam mengembalikan minat belajar dalam kalangan pelajar dengan mewujudkan pusat tuisyen rakyat yang akan mendapat bantuan tutor dari universiti tempatan.

Bagi inisiatif 'damai', Joohari memfokuskan suasana harmoni dalam kehidupan pelbagal etnik dengan pengukuhan institusi keluarga menerusi program inklusif dengan menoktahkan kemiskinan tegar menerusi bantuan kerajaan yang efisien.

Dia turut menawarkan pembukaan taska perpaduan dan tadika Islam bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga, membantu menyelesaikan isu kewarganegaraan bagi warga emas dan kanak-kanak tempatan yang layak, mengimarahkan masjid dan surau serta pemuliharaan rumah ibadat bukan Islam melalui kerajaan negeri dan persekutuan.

Terakhir bagi inisiatif 'untuk semua', Joohari mahu memberikan perhatian yang adil kepada seluruh masyarakat dengan fokus kepada keupayaan daya saing belia, anak muda, wanita, pengembangan pendidikan kanak-kanak serta warga emas tanpa mengira fahaman politik, budaya dan agama.