Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas gelombang haba maut, hujan lebat landa negeri di India

GLOBAL | Selepas gelombang haba yang membawa maut, India kini bergelut dengan hujan monsun yang lebat, yang telah menyebabkan banjir kilat, kerosakan jalan raya dan harta benda, dan kenaikan paras air sungai.

Kematian berkaitan hujan telah berlaku di ibu negara Delhi dan kawasan lain.

Lima ahli keluarga termasuk empat kanak-kanak, dilaporkan lemas di air terjun, tempat pelancongan popular, di kawasan Lonavala Maharashtra, kira-kira 80km dari Mumbai.

Video yang menyayat hati mengenai kejadian itu pada Ahad menunjukkan mereka saling berpegang antara satu sama lain dalam usaha untuk menyelamatkan diri ketika arus air yang kuat menghanyutkan mereka.

Menurut laporan media tempatan, dua lagi ahli keluarga berjaya berenang ke tempat selamat.

Di bandar Mathura, negeri Uttar Pradesh, kira-kira 160 kilometer dari New Delhi, dua orang terbunuh dan 12 cedera parah pada Ahad selepas tangki air berkapasiti 250,000 liter runtuh.

Kehidupan normal terganggu di beberapa bandar Gujarat, termasuk Ahmedabad dan Surat, disebabkan oleh air yang bertakung dan lebih banyak hujan diramalkan di kawasan itu.

Sebuah kanopi runtuh di lapangan terbang Rajkot, Gujarat di tengah-tengah hujan pada Sabtu.

Bihar, Arunachal Pradesh, Madhya Pradesh, Nagaland, Manipur, Mizoram, Rajasthan dan Uttarakhand merupakan antara negeri yang Jabatan Meteorologi India melaporkan hujan lebat pada Ahad.

Petir mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang di Assam manakala hujan berterusan di Arunachal Pradesh sejak Sabtu memburukkan lagi banjir di wilayah timur laut itu.

Dengan paras air yang meningkat di Sungai Brahmaputra, perkhidmatan feri digantung di beberapa tempat di Assam.

Sebuah jambatan di atas Sungai Imphal runtuh di negeri Manipur pada Ahad, menyebabkan seorang pemandu lori terbunuh.

Insiden tanah runtuh telah menghalang lalu lintas di jalan raya di Jammu dan Kashmir di daerah Kishtwar.

Video yang tular di media sosial menunjukkan kenderaan dihanyutkan arus deras akibat kenaikan air sungai di Haridwar di negeri Uttarakhand. Hujan monsun minggu lepas mencetuskan tanah runtuh di daerah Shimla, Kullu dan Kinnaur di Himachal Pradesh.

Di Delhi, empat orang mati lemas di laluan bawah tanah yang dinaiki air, menjadikan jumlah kematian akibat hujan kepada 11 orang sejak hujan lebat Jumaat lepas.

Ibu negara India itu mengalami gangguan lalu lintas apabila jalan raya dan laluan bawah tanah dinaiki air berikutan banjir.

Terminal 1 lapangan terbang Delhi, kebanyakannya digunakan oleh syarikat penerbangan domestik IndiGo dan SpiceJet, masih ditutup kerana kerosakan struktur dalam kejadian hujan pada Jumaat.

Penerbangannya telah dipindahkan ke Terminal 2 dan 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi.

Seorang lelaki maut manakala lapan lagi cedera selepas bumbung Terminal 1 runtuh.

India musim panas ini mengalami gelombang haba yang teruk, dengan suhu di beberapa kawasan barat laut mencecah hampir 50 darjah Celsius.

- Bernama