Skip to main
Logo Malaysiakini

Jabatan Kastam rampas 30kg dadah di KLIA2

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas kira-kira 30 kilogram (kg) dadah bernilai RM3.2 juta dalam dua operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA Terminal 2) dan zon bebas kargo KLIA di Sepang baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Norlela Ismail berkata dalam operasi pada 16 Jun lepas, seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun ditahan ketika cuba mendaftar masuk sebuah kotak makanan miliknya di kaunter kira-kira 7.30 malam.

“Hasil pemeriksaan kotak makanan itu menjumpai 15 mampatan kristal putih disyaki dadah jenis ketamin yang telah diisi di dalam bungkusan teh.

“Bungkusan itu kemudian diletakkan ke dalam kotak makanan berlabelkan jenama mi segera dengan anggaran berat kasar 15.181 kg. Mampatan yang disyaki ketamin terbabit dianggarkan bernilai RM760,000,” katanya dalam sidang media di Sepang hari ini.

Beliau berkata modus operandi memasukkan dadah di dalam bungkusan teh serta diletakkan di dalam kotak makanan digunakan sindiket bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Sindiket juga menggunakan kaedah self check in bagasi untuk mengedar dadah ke lokasi lain,” katanya dan menambah lelaki berkenaan dalam perjalanan ke Miri, Sarawak.

Dalam operasi pada 19 Jun pula, Norlela berkata pihaknya menemukan satu kotak bungkusan kurier yang diikrar di kawasan Zon Bebas Kargo, KLIA Sepang sebagai Njoy Caramel Cubes.

“Hasil pemeriksaan rapi yang dijalankan terhadap kotak terbabit, pasukan telah menjumpai 15 termos berlabel Lavender 1000mL mengandungi pil-pil disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

“Anggaran kasar dadah ialah 14.663 kg. MDMA yang disita dianggarkan bernilai harga pasaran RM2.5 juta,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kotak bungkusan mengandungi dadah itu adalah dari negara Eropah dan dialamatkan ke sebuah syarikat.

-- LAGI

JKDM-DADAH 3 (AKHIR) SEPANG

“Kita sedang melakukan semakan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kebiasaannya syarikat yang dialamatkan tidak wujud,” katanya.

Norlela berkata kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan akan dijatuhkan hukuman sebat tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata JKDM turut menahan seorang warga asing kerana cuba membawa keluar mata wang hampir RM700,000 di KLIA Terminal 1 di Sepang pada 13 Jun lepas.

“Hasil pemeriksaan terhadap bagasi dibawa pengembara menemukan sejumlah mata wang Ringgit Malaysia pelbagai not berjumlah RM572,563 dan mata wang Dolar Singapura berjumlah SGD24,500 yang dimuatkan di dalam bagasi miliknya.

“Pengembara itu tidak membuat pengikraran terhadap amaun tunai yang hendak dibawa keluar dari Malaysia dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019.

"Peraturan berkenaan menyatakan pengembara yang ingin membawa keluar amaun tunai dan instrumen boleh niaga pembawa keluar dari Malaysia untuk mengikrarkannya menggunakan Borang Kastam No. 7 sekiranya amaun tunai atau instrumen boleh niaga pembawa melebihi atau bersamaan nilai US$10,000,” katanya.

- Bernama