Skip to main
Logo Malaysiakini

Hina mahkamah: Lokman dikenakan bon berkelakuan baik setahun

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun berhubung kes menghina mahkamah terhadapnya yang dikaitkan dengan perbicaraan rasuah 1MDB RM2.27 bilion terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Sidang tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim P Nallini sebulat suara membenarkan rayuan Lokman terhadap hukuman penjara sebulan yang dikaitkan dengan ugutan terhadap saksi pendakwaan, bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin.

Keputusan hari ini oleh mahkamah negara paling atas - yang turut dianggotai Hakim Rhodzariah Bujang dan Hakim Abu Bakar Jais - telah mengetepikan hukuman penjara satu bulan itu.

Keputusan itu menyusuli tindakan Lokman awal hari ini yang memberikan permohonan maaf tanpa syarat di hadapan Mahkamah Persekutuan.

“Saya dengan rendah diri memohon maaf kepada Mahkamah Yang Mulia ini atas tindakan saya membuat laporan polis di mana kandungan laporan polis tersebut mengandungi komen saya berkenaan dengan kredibiliti saksi Amhari Efendi Nazarudin dan seterusnya mengeluarkan kenyataan media ketika perbicaraan sedang berjalan.

"Saya sekarang telah menyedari bahawa tindakan – tindakan atau komen–komen saya tersebut merupakan tindakan yang bukan sahaja terjumlah kepada satu serangan terhadap integriti Jabatan Peguam Negara, tetapi juga merupakan satu tindakan mengugut saksi dan sekaligus menganggu proses pentadbiran keadilan.

"Saya benar-benar menyesal dan telah insaf. Saya tiada niat untuk menghina mahkamah. Oleh yang demikian, saya memohon maaf secara suci hati tanpa sebarang syarat kepada pihak Yang Amat Arif, Yang Arif – Yang Arif, Jabatan Peguam Negara, pihak Pendakwaan yang mengendalikan kes berkenaan, mahkamah dan semua pihak terlibat dan saya berjanji bahawa perkara ini tidak akan berulang lagi,” kata Lokman.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan.

Pada 2022, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Lokman dan mengekalkan hukuman penjara sebulan.

[Baca berita asal]