Skip to main
Logo Malaysiakini

'Agihan tak seimbang antara punca kurang doktor di hospital awam'

PARLIMEN | Kekurangan doktor di hospital kerajaan tertentu sebahagiannya disebabkan oleh ketidakseimbangan pengagihan tenaga kerja, menurut Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Bercakap di Dewan Rakyat pagi ini, Dzulkefly (Pakatan Harapan-Kuala Selangor) mempertahankan nisbah 1:412 doktor-penduduk sebagai "munasabah", tetapi berikrar untuk meneruskan usaha ke arah menambah baik bilangan itu melalui beberapa inisiatif.

"Apa yang saya telah sebutkan tadi, nisbah doktor kepada penduduk, kita sudah capai 412. Dengan kata lain, kalau kita banding epal kepada epal, dari sudut jumlah doktor, kita punya satu jumlah yang agak munasabah sebagai sebuah negara berpendapatan sederhana tinggi.

"Namun saya sedang halusi dan cermati (untuk perbaiki) dengan satu kajian lebih menyeluruh dari sudut permintaan dan bekalan yang juga kita bantu dengan satu kajian Bank Dunia.

"Inilah ketika mana ada hospital kadang-kadang bila taburan atau agihan (tenaga kerja) berlaku ketidakseimbangan... Itu yang menyebabkan berlaku sesekali kita dapati isu burnout, isu burden of work.

"Inilah yang sedang saya perhatikan," katanya semasa Sesi Soal Jawab Menteri di Dewan Rakyat.

Dzulkefly menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan), yang ingin tahu mengenai inisiatif Kementerian Kesihatan dalam menangani isu kekurangan pekerja kesihatan.

Terdahulu, menteri memberitahu Dewan Rakyat bahawa nisbah doktor-penduduk Malaysia telah bertambah baik daripada 1:758 pada 2012 kepada 1:412 pada 2022.

Tambah Dzulkefly, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan untuk menurunkan lagi nisbah kepada 1:400 menjelang tahun depan.

Dzulkefly berkata nisbah doktor-penduduk itu meningkat dengan memuaskan, dan membandingkannya dengan beberapa negara lain termasuk Singapura (1:270), UK (1:357), Australia (1:270), Thailand (1:1,111) dan Indonesia (1:1,400).

Menurut menteri itu, antara inisiatif yang sedang dijalankan KKM untuk menambah baik bilangan doktor di Malaysia termasuk menambah bilangan slot doktor pelatih daripada 10,835 pada 2012 kepada 12,198 tahun ini.

Dia turut menyeru semua pihak yang berkepentingan untuk bekerjasama bagi menarik minat pelajar untuk mengikuti pengajian dalam bidang perubatan.

"KKM juga sedang dalam peringkat akhir bagi memperhalusi beberapa cadangan polisi-polisi baru yang terkait secara langsung dengan pelantikan dan penempatan anggota kesihatan KKM melalui program Reformasi Sumber Manusia yang akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.