Skip to main
Logo Malaysiakini

Suhakam digesa anjur forum isu orang tanpa kerakyatan di Sabah

PARLIMEN | Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) diminta menganjurkan lebih banyak forum terbuka bagi membincangkan isu orang tanpa kerakyatan dan pendatang tanpa izin yang memasuki Sabah.

Isnaraissah Munirah Majelis (Warisan-Kota Belud) berkata kedua-dua kumpulan itu juga perlu dibezakan dengan jelas apabila pihak berkepentingan di peringkat negeri dan persekutuan bersama-sama membincangkan "isu sensitif" berkenaan.

"Kena sedar perbezaan PTI dan stateless. PTI adalah pendatang tanpa izin yang datang ke sesebuah negara tanpa dokumen dan melalui proses yang betul. Manakala stateless adalah orang yang tidak mempunyai warganegara.

"Perbincangan mengenai topik sensitif ini adalah satu permulaan yang baik.

Ahli Parlimen Kota Belud (Warisan) Isnaraissah Munirah Majelis.

"Isu kewarganegaraan menjadi isu yang begitu sensitif sehingga kadang-kadang tiada ahli politik di Sabah yang mahu bercakap berkenaan perkara ini," katanya.

Baru-baru ini, lapan pelajar tanpa dokumen telah ditahan dalam satu protes di luar Pejabat Ketua Menteri Sabah.

Ia telah mencetuskan kebimbangan baru terhadap generasi Bajau Laut yang dilahirkan di Sabah tetapi kekal tanpa dokumen kerakyatan dan sebahagian besarnya dinafikan hak asasi mereka.

"Saya sangat berharap kita membincangkan perkara ini. Ya isu pendatang tanpa izin di Sabah belum selesai. Ya di Sabah, kita ada orang tanpa kerakyatan.

"Kita boleh berbeza dari segi ideologi atau pendekatan tetapi isu ini yang kita kena sama-sama bincang dan harungi sama-sama. Kalau tidak isu ini tidak pernah akan selesai," katanya.

"Kerajaan pusat dan kerajaan negeri harus bekerjasama erat dan mengambil tindakan lebih serious bagi mencari pendekatan yang seimbang antara hak asasi komuniti ini disamping menekankan mengenai isu-isu keselamatan negara," katanya lagi.

Selain isu kewarganegaraan, Isnaraissah berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk menangani laporan Suhakam mengenai tahap kemudahan asas termasuk bekalan elektrik dan air di Sabah.