Skip to main
Logo Malaysiakini

Tunggu saya 'berlari' dulu - Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof enggan mengulas lanjut mengenai isu peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang seperti mana diperjuangkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Tunggu saya berlari dahulu," jawab Fadillah secara berseloroh ketika ditanya mengenai perkara itu.

Fadillah berkata demikian selepas melancarkan Koperasi Gabungan Pemandu-pemandu Ahli Parlimen Malaysia (GPMP) Berhad di bangunan parlimen hari ini.

Kenyataan Fadilah dipercayai merujuk tindakan Syed Saddiq yang berlari sejauh 200 kilometer sebagai tanda protes terhadap kerajaan yang tidak menyalurkan peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang.

Syed Saddiq memulakan kempen larian yang digelarnya Langkah Muar pada jam 6.30 pagi Jumaat lalu dan berakhir di parlimen sekitar jam 9.30 pagi tadi.

Melalui larian itu, Syed Saddiq mendakwa pihaknya meraih kutipan RM160,000 derma daripada lebih 2,000 penyumbang.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa kerajaan telah ‘melencongkan’ peruntukan yang sepatutnya diterima ahli-ahli parlimen pembangkang.

Dakwanya, peruntukan berkenaan dilencongkan dengan menyalurkannya kepada parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan.

Fadillah pada April lalu dilapor memaklumkan draf Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang sedang dimuktamadkan.

Sebaik sahaja draf berkenaan siap, timbalan perdana menteri berkata ia akan diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik kerajaan dan pembangkang untuk diluluskan.