MP PAS: Ada pihak bawa naratif songsang halalkan murtad
PARLIMEN | Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) digesa supaya mendasarkan pertimbangannya dalam isu kebebasan beragama pada prinsip undang-undang Islam dan kekangan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) menegaskan Islam dan Perlembagaan Persekutuan menjunjung hak kebebasan beragama seseorang, tetapi kebebasan itu tidak mutlak, termasuk di bawah Perkara 11(4) yang menyekat dakwah agama lain kepada orang Islam di Malaysia.
"Harap agar Suhakam menjadi badan yang meletakkan kepentingan syariah dan perundangan negara sebagai tunjang dalam membahaskan mengenai kebebasan beragama.
"Biarlah hak asasi menurut seperti yang dikehendaki oleh agama Allah," katanya ketika membahaskan laporan tahunan Suhakam di Dewan Rakyat hari ini.
Kata Ahmad lagi, Suhakam perlu sentiasa merujuk prinsip syariat dalam Islam yang perlu dijunjung dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
"Apa yang menjadi titik pertikaian apabila ada pihak yang cuba membawa naratif songsang, iaitu kebebasan agama sampai ke peringkat menghalalkan berlaku murtad.
"Ini juga menjadi perjuangan segelintir pihak di negara ini yang gagal memahami nilai hikmah agama melarang seseorang itu murtad.
"Naratif sedemikian harus diketepikan pengamalannya dalam negara. Kerana soal murtad telah jelas tidak dibenarkan dalam Islam," katanya tanpa menamakan pihak yang didakwanya itu.
Dalam pada itu itu, Ahmad berkata terdapat garis halus antara tindakan murtad oleh orang yang menganut Islam sejak lahir dan permohonan yang dibuat ke mahkamah Syariah untuk seorang mualaf kembali kepada agama lama mereka.
"Perbahasan mengenai kebebasan beragama dalam negara kita juga tidak boleh lari dari isu murtad serta permohonan keluar dari Islam.
"Isu murtad atau permohonan keluar dari Islam perlu dinilai dengan penuh hikmah.
"Terdapat garis halus antara situasi murtad dengan 'keluar Islam'.
Perkukuh akidah mualaf
"Kedua-dua perkara ini terdapat garis pemisah walaupun daripada sudut istilah tidak begitu jelas perbezaan," katanya.
Dalam kes yang melibatkan mualaf bukan Islam, Ahmad berkata mereka memeluk Islam untuk berkahwin tetapi tidak pernah diajarkan agama dan akhirnya selepas bercerai memfailkan permohonan di mahkamah Syariah untuk kembali kepada kepercayaan lama mereka.
Justeru, katanya selain penyelarasan enakmen negeri berkaitan pemelukan Islam tumpuan juga perlu diberikan kepada langkah memperkukuh akidah mualaf.
Ahli parlimen lain yang membangkitkan isu mengenai kebebasan beragama termasuk P Prabakaran (PH-Batu) yang meminta Suhakam untuk menetapkan garis panduan yang jelas terhadap penukaran agama kanak-kanak di bawah umur kepada Islam, memetik kontroversi baru-baru ini yang dicetuskan oleh pendakwah Firdaus Wong.
Katanya perlu ada sekatan yang jelas terhadap perkara itu, memetik undang-undang yang menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membeli rokok sebagai contoh garis panduan sedia ada yang boleh diguna pakai.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai