Skip to main
Logo Malaysiakini

PAS calonkan Abidin di Sg Bakap berdasarkan kajian

PRK SG BAKAP | Walaupun berdepan pelbagai tohmahan dan kritikan pihak lawan susulan calon yang dipilih, PAS Pulau Pinang menegaskan mereka tidak membuat pilihan yang salah dengan mempertaruhkan Abidin Ismail.

Pesuruhjaya PAS negeri Muhammad Fauzi Yusof berkata pemilihan Abidin bukan sahaja melalui tapisan pimpinan negeri dan pusat bahkan turut melibatkan kajian khusus.

"Tak (silap pilih), sebenarnya kita menerima senarai pencalonan daripada pelbagai peringkat, selepas pihak PAS negeri buat tapisan dan senarai pendek dihantar kepada PAS pusat dan pusat tidak terus buat keputusan bahkan menghantar satu team untuk buat kajian di sini.

"Hasil daripada kajian itu kita dapati kecenderungan masyarakat di Sungai Bakap ini berkehendakan wakil rakyat yang boleh didamping.

"Ini suasana yang ada, sebab itu Abidin calon terbaik yang dipilih berdasarkan kepada kajian, bukan kita ambil begitu saja. Kita lihat bagaimana situasi dan keadaan masyarakat di Sungai Bakap ini mereka mahukan wakil yang berdamping dengan rakyat bersama membela masalah yang dihadapi mereka," katanya ketika ditemui di program Sungai Bakap berselawat di Sungai Kechil, Nibong Tebal, malam tadi.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof

Muhammad Fauzi yang juga Adun Sungai Dua berkata demikian ketika ditanya sama ada PN memilih calon yang salah selepas dilihat berdepan kritikan pihak lawan sepanjang kempen berlangsung.

Abidin sebelum ini antara menerima kecaman susulan selepas diumumkan mempunyai sijil ISO (Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian).

Dia kemudiannya memberi penjelasan bahawa perkara itu mempunyai sedikit kesilapan dan kemudian dimainkan oleh pihak lawan dengan naratif tertentu.

Selain itu isu taraf pendidikannya juga menjadi tanda tanya kerana perinciannya tidak ditonjolkan ketika dia diperkenalkan sebagai calon.

Muhamamd Fauzi berkata, pihaknya setakat ini berpuas hati dengan perjalanan kempen oleh Abidin dan jentera PN dengan sambutan yang baik daripada pengundi di kawasan itu.

Malah katanya, kempen PN di Sungai Bakap menunjukkan lanskap baru kepada PN apabila mendapat respons memberangsangkan daripada masyarakat bukan Melayu.

"Alhamdulillah kita dah pusing habis, dia pergi ke program-program dibuat untuk kita bertemu dengan semua lapisan pengundi, semua segmen jumpa. Abidin sebagai orang senang dapat sambutan masyarakat malah tak perlu kita perkenalkan lagi.

"Setakat ini kita berpuas hati Alhamdulillah sambutan sangat memberangsangkan, hatta kita tak jangka masyarakat Tiong Hua dan India terima baik beliau dan ini satu lanskap yang baru.

"Maknanya mungkin ketakutan masyarakat non muslim kepada PAS atau PN, arlergik itu sudah mula berkurangan, satu petanda yang positif dan kita mengharapkan gelombang rakyat di Sungai Bakap ini akan dapat memberikan perkembangan yang baik di seluruh negara," jelasnya.

Abidin berdepan saingan calon PH Joohari Ariffin dalam penentuan pada 6 Julai nanti. PRK DUN Sungai Bakap itu diadakan selepas kematian penyandangnya daripada PAS Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.