Skip to main
Logo Malaysiakini

Subsidi RON95: Belum ada kertas dasar pelaksanaan, kata PM

PARLIMEN | Putrajaya setakat ini belum memuktamadkan pelan rasionalisasi subsidi untuk petrol RON95, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bercakap di Dewan Rakyat pagi ini, Anwar berkata kerajaan masih belum mempunyai kertas dasar untuk pelaksanaan segera subsidi petrol bersasar berkenaan.

Sebaliknya, Anwar berkata, kerajaan mahu memantau kesan subsidi bersasar yang diperkenalkan baru-baru ini untuk elektrik, ayam dan diesel sebelum mengambil langkah lain.

"Ada kajian dari dulu mengenai pelan ini, tetapi saya fikir adalah lebih baik kita lihat (pantau) dulu (kesan) langkah-langkah yang sudah diambil untuk kadar elektrik, ayam, penyasaran diesel.

"Ini (penyasaran subsidi) sudah kita (kerajaan) buat tahun ini dan tahun lalu, justeru kita lihat dulu kesan dan reaksi rakyat

"Kemudian selepas itu barulah kita bersedia berunding apakah keperluan (untuk penyasaran subsidi RON95)," katanya.

Perdana menteri juga memberitahu kaedah penyasaran subsidi petrol RON95 itu juga akan difikirkan oleh kerajaan agar ia tidak membebankan rakyat terbanyak.